Malacca Securities jangka OSK Holdings terus catat pertumbuhan pendapatan pada suku-suku mendatang | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka OSK Holdings terus catat pertumbuhan pendapatan pada suku-suku mendatang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - OSK Holdings Bhd dijangka menyaksikan pertumbuhan pendapatan pada suku-suku berikutnya, demikian menurut Malacca Securities susulan keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) yang sejajar dengan ramalan firma.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih OSK Holdings Bhd dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) adalah dalam jangkaan, di mana 23.8% daripada keuntungan bersih firma sebanyak RM484.1 juta, sementara ramalan konsensus pada 26.4% daripada RM436 juta.

 

 

BACA: OSK Holdings catat untung bersih RM115 juta dalam 1QFY23 dipacu peningkatan pada semua segmen perniagaan

 

 

“Kami menganggap pertumbuhan pendapatan pada suku-suku berikutnya akan disokong oleh pengebilan progresif bagi jualan hartanah tidak dibilkan, pendapatan tetap daripada pembiayaan modal dan pelaburan strategik dalam RHB Bank Bhd dengan 10.24% pegangan ekuiti,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma tersebut, OSK Holdings mempunyai pembangunan hartanah dengan jualan belum dibil kira-kira RM1.02 bilion yang akan mengekalkan keterlihatan pendapatan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.

 

Sementara itu, empat projek dalam perancangan dengan jumlah gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM714 juta akan dilancarkan pada separuh kedua 2023, manakala fasa kedua Melbourne Square (MSQ) dengan GDV AUD650 juta (kira-kira RM1.95 bilion) telah dilancarkan pada April 2023.

 

“Kami menganggap bahawa 2,002 hektar bank tanah OSK Holdings pada akhir 1QFY23 dengan anggaran GDV sebanyak RM16.2 bilion mampu memastikan kemampanan pendapatan dalam jangka panjang,” katanya sambil menambah kumpulan itu sedang mencari tanah bersebelahan dengan dua perbandaran sedia ada mereka.

 

Malacca Securities berkata portfolio pinjaman OSK Holdings berjumlah RM1.32 bilion dengan nisbah pinjaman tidak berbayar minimum pada 1QFY23 dan disokong oleh perlindungan keselamatan yang mencukupi dan pertumbuhan dijangka berterusan berikutan pelancaran produk baharu dan kumpulan itu mengambil bahagian dalam platform fintech untuk meluaskan liputannya.

 

Di samping itu, segmen pembinaan akan disokong oleh buku pesanan tertunggak RM415.1 juta untuk diiktiraf secara progresif dan sementara segmen pelaburan hartanah menunjukkan kestabilan dalam kadar penghunian, segmen industri akan terus sibuk, beroperasi pada kapasiti penuh dengan pengembangan pengeluaran yang telah dirancang.

 

Sementara itu, segmen hospitaliti dijangka terus disokong oleh pemulihan dalam aktiviti pelancongan, di mana pengembara domestik telah menerajui trend pemulihan pada 2022 dan pembukaan semula sempadan antarabangsa China mungkin meningkatkan aktiviti pelancongan mulai 2023 dan seterusnya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan dan mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.41 sesaham.

 

Setakat 11.50 pagi ini, saham OSK Holdings telah menokok 0.5 sen atau 0.5% kepada 97.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM2.04 bilion. -DagangNews.com