Maxland kini terlibat dengan perniagaan pembinaan, pembaikan kapal dan tenaga daripada pembalakan | DagangNews Skip to main content

Maxland kini terlibat dengan perniagaan pembinaan, pembaikan kapal dan tenaga daripada pembalakan

Maxland Bhd dahulunya dikenali sebagai Priceworth International Bhd kini terlibat dengan pelbagai perniagaan termasuk perkapalan, marin dan tenaga daripada pemabalakan sebelum ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Maxland Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Priceworth International Berhad akan terlibat dengan perniagaan pembinaan dan pembaikan kapal sebagai strategi pengembangan perniagaan terasnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka pada awalnya terlibat dengan perniagaan servis bot tunda dan tongkang dalaman sebagai usaha melangkapkan operasi perkayuannya. 

 

Katanya, sejak 2022, kumpulan itu berjaya meperoleh lesen kelas D & DD untuk menjalankan kontrak pembinaan dan pembaikan kapal dengan kapasiti 50 hingga 200 tan bagi pelbagai agensi kerajaan melalui anak syarikat milik penuhnya, Maxland Marine Sdn Bhd.

 

"Jumlah nilai kontrak yang dicapai pada tahun kewangan lepas berjumlah kira-kira RM7 juta. Pada masa ini, kumpulan sedang dalam proses mendapatkan tender kontrak selanjutnya di dalam dan di luar negara seperti Filipina dengan jumlah nilai kontrak melebihi RM200 juta," katanya.

 

Maxland juga sedang mengembangkan perniagaannya kejuruteraan awam dan marin melalui anak syarikat milik penuhnya, Maxland Bina Sdn Bhd.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat pengilang kayu Sabah, Priceworth mahu tukar nama kepada Maxland Berhad

 

Katanya, ketika ini mereka sedang menyelenggara jalan batu kerikil sepanjang 135km di kawasan Tongod, Sabah yang berada dalam operasi kayu sedia ada.

 

"Dengan lessen G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang baru diperoleh, kumpulan itu merancang terlibat dengan lebih banyak projek jalan raya yang dibiayai kerajaan negeri di Sabah.

 

"Maxland Bina Sdn Bhd juga telah berjaya menyelesaikan kerja kontrak pengorekan di Northport Pelabuhan Klang pada Mei 2024 dengan jumlah kontrak kira-kira RM13.8 juta," katanya.

 

Kumpulan itu juga sedang meneroka perniagaan berkaitan tenaga menerusi Maxland Energy Sdn Bhd, seperti District Cooling, Independent Power Utility dan kenderaan elektrik  (EV) komersial.

 

Katanya, Maxland Energy melalui anak syarikatnya, Maxland Auto Sdn Bhd, menumpukan pada pembuatan, pemasangan dan pengedaran EV komersial dan telah bekerjasama dengan GoAuto Group untuk memasang dan memasarkan dua jenama bas terkemuka China iaitu Yutong dan Higer.

 

Kilang pembuatan dan pemasangan akan didirikan di tapak kilang kami di Sequntor, Sandakan dan menunggu kelulusan untuk kelulusan lesen pengilangan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

"Kumpulan itu juga sedang berbincang dengan Taman Teknologi Kulim bagi membeli tanah di Taman Teknologi Tinggi Kulim bagi menubuhkan loji penyejuk bagi memudahkan pengguna di taman itu," katanya. - DagangNews.com