MCE terima kontrak RM52.13 juta bekal komponen elektrik, mekatronik kereta Proton | DagangNews Skip to main content

MCE terima kontrak RM52.13 juta bekal komponen elektrik, mekatronik kereta Proton

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - MCE Holdings Bhd menerusi Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd memperoleh kontrak bernilai RM52.13 daripada Proton bagi membekalkan komponen elektrik dan mekatronik.

 

Kumpulan itu berkata, projek yang memakan masa 60 bulan itu menyaksikan MCE akan menyediakan alat ganti seperti lampu baca hadapan, lampu pemantul cahaya belakang dan pemegang cawan bagi kenderaan Proton bermula suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.

 

Pengarah Urusan MCE Group, Dr. Goh Kar Chun berkata, kejayaan mendapatkan satu lagi projek daripada Proton mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran reka bentuk dan pembuatan mereka.

 

Beliau berkata, memenangi projek itu menerusi proses tender yang kompetitif menunjukkan kumpulan itu memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan bagi rumusan teknologi yang berkualiti dan menjimatkan kos.

 

"Sambil meningkatkan tawaran bagi rantaian nilai pembuatan elektronik automotif, kami berada di landasan yang betul untuk menyiapkan kilang baharu kami, MCE Auto Hub, menjelang awal 2025.

 

"Kemudahan itu akan meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam mereka bentuk dan membangunkan komponen dan sistem elektronik yang lebih canggih, membolehkan kmpulan itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan generasi akan datang di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MCE merupakan pengeluar peralatan asal (OEM) yang terlibat dalam kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan elektronik automotif dan alat ganti mekatronik untuk pasaran Malaysia dan serantau.- DagangNews.com