Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Nov - MIDF Research menjangkakan segmen perhotelan dan peruncitan KLCCP Stapled Group akan kembali pulih sejajar dengan peralihan Lembah Klang kepada fasa keempat di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Ini memandangkan peralihan fasa tersebut membolehkan semua sektor ekonomi dan pejabat dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh.
Melangkah ke hadapan, katanya, Suria KLCC komited untuk memastikan kemampanan dalam kalangan penyewanya meskipun kedatangan pengunjung semakin menggalakkan ketika hujung minggu.
"Sementara itu, Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pula menunjukkan tahap pemulihan secara beransur-ansur menjelang akhir tahun ini.
"Segmen pejabat dijangka kekal stabil berikutan perjanjian pajakan bersih 3 kali ganda dan jangka masa panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setelah mengambil kira semua faktor, MIDF Research mengekalkan saranan neutral ke atas KLCCP dengan harga sasaran pada RM6.80. Ia juga menganggarkan hasil dividen KLCCP pada 4.2%.
Baca : Perolehan KLCCP Stapled susut 17% akibat PKP
Bagaimanapun, firma itu tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan tahun kewangan kewangan 2021/2022 memandangkan prestasi kewangan bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 adalah sejajar dengan jangkaannya.
"Untung bersih teras KLCCP bagi tempoh 9 bulan sebanyak RM425.5 juta adalah memenuhi jangkaan kami tetapi tersasar daripada unjuran konsensus, menjadikan anggaran keseluruhan tahun masing-masing pada 70.6% dan 69.7%," tambahnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, KLCCP mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2021, yang menyaksikan perolehannya susut 17% kepada RM260.34 juta berbanding RM312.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga susut 21% kepada RM154.1 juta berbanding RM195.5 juta berbanding tahun lalu.
Penurunan ini terutamanya disebabkan prestasi lemah segmen hotel dan peruncitan yang terjejas akibat penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bagi memerangi krisis pandemik sekali gus mengganggu pemulihan pasaran bagi kedua-dua segmen ini. - DagangNews.com