MIDF Research kekal positif prospek keperluan asas pengguna berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif prospek keperluan asas pengguna berdaya tahan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor pengguna dengan menumpukan menumpukan perhatian kepada keperluan asas pengguna berbanding barangan kehendak.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ia optimistik berikutan permainan defensif disebabkan oleh permintaan yang berdaya tahan untuk produk keperluan.

 

Selain itu, prospek penggunaan domestik dilihat kukuh disokong oleh pelbagai insentif yang diperkenalkan dalam Bajet 2024, kestabilan pasaran buruh dan peningkatan aktiviti pelancongan.

 

Di samping itu, firma itu berkata margin keuntungan semakin baik untuk pengeluar makanan dan minuman (F&B) didorong oleh penurunan harga komoditi global.

 

Manakala margin keuntungan normal untuk pemain ternakan ayam, dirangsang oleh penghapusan harga siling ayam dan telur serta normalisasi kos makanan haiwan.

 

“Memandang ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam perbelanjaan runcit untuk produk keperluan pada 2023 dan 2024.

 

“Prospek ini sejajar dengan ramalan perdagangan runcit MIDF Economists yang optimis untuk 2023 dalam Kajian Ekonomi: Perdagangan Edaran Ogos 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pilihan utama firma itu bagi sektor pengguna adalah syarikat yang menyediakan produk keperluan yang mempamerkan permintaan berdaya tahan, seperti QL Resources Bhd (beli, harga sasaran [TP]: RM6.75) dan F&N Holdings Berhad (beli, TP: RM33.50).

 

Menurut firma itu, QL Resources menjadi pilihan disebabkan ia memiliki permintaan yang konsisten untuk produk marin dan ternakan.

 

Sementara itu, F&N disukai kerana syarikat tersebut berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk minuman sedia diminum, didorong oleh peningkatan trafik pelancong.   - DagangNews.com