KUALA LUMPUR 24 Nov - MIDF Research mengunjurkan inflasi utama sederhana pada 2.7% bagi keseluruhan 2023 selepas ia mencatat kadar terendah sejak Mac 2021 pada 1.8% bagi Oktober 2023.
Firma penyelidikan itu berkata sehingga Oktober 2023, purata inflasi makanan catat peningkatan 5.3% tahun ke tahun (yoy), bersamaan dengan 5.7% tahun sebelumnya.
"Penyederhanaan kadar inflasi makanan adalah lebih pantas daripada jangkaan kami, justeru kami meramalkan pertumbuhan harga keseluruhan sederhana kepada 2.7% untuk tahun ini. Inflasi bukan makanan dijangka sederhana pada 1.5%.
ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia catat 1.8% pada Oktober 2023, terendah sejak April 2021 - DOSM
"Memandang ke hadapan, kami melihat prospek inflasi Malaysia kekal meningkat walaupun tekanan inflasi makanan menyederhana dan harga komoditi global kian stabil.
"Perubahan mekanisme kawalan harga akan menentukan kelajuan inflasi untuk 2024 dan seterusnya," ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, kadar inflasi bagi Oktober 2023 berada di bawah konsensus pasaran sebanyak 1.9% yoy.
Tambahnya, kadar inflasi teras direkodkan lebih rendah pada 2.4%yoy namun masih melebihi purata sebelum pandemik 1.7%.
"Purata inflasi utama setakat Oktober 2023 ialah 2.7% (2022: 3.4%) dan kadar inflasi teras ialah 3.2% (2022: 3%).
"Tekanan inflasi yang semakin lemah adalah petanda positif terutamanya bagi permintaan dalam negeri untuk kekal dalam laluan pengembangan pada suku keempat 2023 dan seterusnya," katanya. - DagangNews.com