MIDF semak turun unjuran rugi bersih FY21 AirAsia, RM1.98 bilion | DagangNews Skip to main content

MIDF semak turun unjuran rugi bersih FY21 AirAsia, RM1.98 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Firma penyelidikan, MIDF Research menyemak turun unjuran kerugian bersih yang dijangka dicatatkan AirAsia Group Berhad bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada -RM1.98 bilion. 

 

Penilaian semak turun turut dilakukan ke atas kerugian bersih kumpulan bagi FY22 kepada -RM610 juta, setelah mengambil kira jangkaan pendapatan AirAsia sebanyak RM3.27 bilion dan RM8.12 bilion, masing-masing bagi FY21 dan FY22.

 

“Memandangkan kami meramalkan jangka masa pemulihan lebih lama menjangkaui 2021, aspek kewangan penting untuk mengharungi pandemik ini. Penting untuk AirAsia meraih lebih banyak modal untuk mengharunginya. 

 

“Setakat ini, kumpulan syarikat telah berjaya mengumpul kira-kira RM336 juta, antaranya menerusi tawaran persendirian. Walaupun adanya perkembangan yang baik, namun pengurusan syarikat membayangkan sebanyak RM2 bilion hingga RM2.5 bilion diperlukan untuk mereka bertahan dengan selesa hingga tahun hadapan. 

 

“Bertentangan dengan pandangan positif kami mengenai aspek digital kumpulan, kami menjangkakan keadaan yang tidak menentu bagi syarikat. Jika AirAsia tidak berjaya memenuhi keperluan segera perniagaan syarikat penerbangannya, kumpulan itu masih akan berada dalam keadaan teruk, sehingga melebihi tahun 2021 hingga 2022,” ramal MIDF dalam nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, AirAsia mendedahkan kumpulan syarikat menyaksikan kerugian bersih yang berkembang kepada RM2.1 bilion bagi suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) daripada keuntungan bersih RM235 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Menurut MIDF, AirAsia juga mencatatkan nilai buku yang negatif kira-kira -RM3.6 bilion.

 

Firma penyelidikan itu menyarankan untuk ‘jual’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM0.21, berdasarkan ramalan perolehan dan kedudukan nilai buku yang negatif.

 

Senada itu, penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap turut menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham AirAsia dengan TP diturunkan kepada RM0.05.

 

“Pemangkin berpotensi bagi penilaian semula saham termasuk pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam permintaan perjalanan domestik kerana pelaksanaan semula sekatan rentas negeri di Malaysia bermula 13 Januari 2021 dan juga pemulihan lebih lemah dalam permintaan perjalanan antarabangsa kerana penutupan sempadan atau penumpang yang enggan melakukan perjalanan dengan penerbangan jarak jauh. 

 

“Faktor peningkatan penilaian termasuk pengedaran vaksin COVID-19 cepat daripada jangkaan di mana akan memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk membuka semula sempadan antarabangsa,” tambah Yap lanjut.

 

Setakat 12.21 tengah hari, nilai saham AirAsia menyusut 4 sen kepada RM1.09 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.16 bilion. - DagangNews.com