Mitsubishi Heavy Industries, TNB Genco meterai MoU teroka teknologi tenaga bersih | DagangNews Skip to main content

Mitsubishi Heavy Industries, TNB Genco meterai MoU teroka teknologi tenaga bersih

Pasukan pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din (tengah depan) dan beberapa eksekutif Mitsubishi Power di Takasago Machinery Works, Jepun
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Mitsubishi Heavy Industries Ltd. (MHI) dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengkaji dan bertukar maklumat berkaitan teknologi tenaga bersih.

 

MoU tersebut akan membantu memacu peralihan tenaga di Malaysia dan menyokong matlamatnya untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050, kata MHI dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut kumpulan itu, perjanjian ini melanjutkan perkongsian lama antara MHI, Mitsubishi Power dan TNB Genco, dan aspirasi ini disokong oleh komitmen untuk mengurangkan 35% keamatan pelepasan karbon serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

 

“Di bawah MoU tersebut, MHI dengan sokongan daripada jenama penyelesaian tenaganya, Mitsubishi Power, dan TNB Genco akan menjalankan kajian bagi meneliti tiga bidang utama penjanaan tenaga bersih.

 

“Ini termasuk rantaian nilai hidrogen dan ammonia berhubung dengan pengeluaran dan bekalan hidrogen, logistik, penyimpanan dan infrastruktur berkaitan, serta teknologi pembakaran bersama bahan api rendah karbon dalam loji terma dan pengawalan karbon dioksida,” tambahnya.

 

Semua pihak juga akan bersama-sama berkongsi pengalaman dan maklumat bidang yang dinyatakan dalam MoU, termasuk perkongsian pengalaman dan pengetahuan teknikal dalam memajukan penjanaan kuasa lebih bersih di Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Mitsubishi Power Asia Pacific, Akihiro Ondo berkata Mitsubishi Power telah terlibat secara aktif dalam projek penjanaan kuasa Malaysia sejak tahun 1960-an.

 

 

Akihiro Ondo
Akihiro Ondo

 

 

“Kami teruja melanjutkan sokongan serta mengukuhkan perkongsian tersebut untuk bersama-sama meneroka keupayaan sekitar teknologi tenaga inovatif yang membantu mempercepatkan matlamat pelepasan sifar bersih negara.

 

“MoU ini mengesahkan komitmen berterusan kami untuk membangunkan teknologi yang membantu rakan kongsi kami di Malaysia dan di seluruh Asia Pasifik menyampaikan masa hadapan yang mampan,” ulas beliau.

 

MoU tersebut telah dimeterai susulan Seminar Teknikal Mitsubishi Power Malaysia 2023 yang diadakan pada Januari 2023, melibatkan perkongsian pengetahuan tentang pelan strategik serta teknologi dan perkhidmatan penjanaan tenaga peneraju industri yang inovatif bagi menyokong keperluan tenaga Malaysia. -DagangNews.com