MV OOCL Japan jadi kapal kontena terbesar berlabuh di Northport, atasi rekod Eugen Maersk 11 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

MV OOCL Japan jadi kapal kontena terbesar berlabuh di Northport, atasi rekod Eugen Maersk 11 tahun lalu

Kapal MV OOCL Japan berlabuh di Northport pada 20 Mei 2024. -Gambar Northport
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kapal MV OOCL Japan menjadi kapal kontena terbesar yang pernah berlabuh di Northport, Pelabuhan Klang, mengatasi rekod kapal Eugen Maersk 11 tahun lalu.

 

Kapal dengan saiz 400 meter panjang dan 59 meter lebar itu berlabuh di pelabuhan tersebut pada 20 Mei lalu. 

 

Dimiliki Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, MV OOCL Japan mempunyai kapasiti sebanyak 21,413 unit bersamaan 20 kaki (TEU).

 

Rekod persinggahan kapal terbesar sebelum ini di pelabuhan Northport ialah kapal Eugen Maersk, yang mempunyai kapasiti sebanyak 11,000 TEU pada tahun 2013.

 

nport
Kapal kontena bersaiz mega, MV OOCL Japan bersaiz 400 meter panjang dan 59 meter lebar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyifatkan peristiwa bersejarah itu sebagai bukti keupayaan Northport dalam mengendalikan kapal-kapal kontena bersaiz ultra besar serta mencerminkan komitmen terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan dalam sektor logistik maritim.

 

“Kami amat berbangga menerima persinggahan kapal MV OOCL Japan di Northport. Pencapaian bersejarah ini adalah hasil daripada usaha berterusan kami dalam meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada inisiatif 'Reinventing Northport', bagi memastikan pelabuhan berusia 61 tahun ini kekal relevan dan berdaya saing. 

 

"Keupayaan untuk menjadi persinggahan kapal sebesar ini adalah bukti keupayaan dan kesediaan Northport untuk mengendalikan permintaan perdagangan maritim antarabangsa yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, katanya, dalam tempoh empat bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 1,055,555 TEU kontena, iaitu pertumbuhan sebanyak 7% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Katanya, isu geopolitik di Laut Merah telah menyebabkan gangguan kepada perdagangan dunia kerana syarikat-syarikat perkapalan menghadapi masalah kelewatan akibat perubahan laluan perkhidmatan perkapalan. 

 

nport
Azman Shah Mohd Yusof (empat dari kiri) bersama pegawai-pegawai Northport di hadapan MV OOCL Japan, kapal kontena terbesar yang pernah berlabuh di Northport.

 

"Ini telah menyebabkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama lain di rantau ini. Kami telah menerima lebih daripada 50 singgahan kapal secara ad-hoc pada tahun ini disebabkan oleh produktiviti yang lebih baik dan tawaran nilai berth on arrival,” jelasnya Azman.
 

Dalam pada itu, Northport berkata, ketibaan kapal MV OOCL Japan amat signifikan kerana ia merupakan peningkatan besar daripada kapal kontena pertama yang berlabuh di Northport, Pelabuhan Klang, iaitu kapal MV Tokyo Bay. 

 

Katanya, dengan kapasiti 3,000 TEU, kapal MV Tokyo Bay merupakan kapal kontena penuh generasi ketiga pertama di dunia yang singgah di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos 1973, menandakan permulaan operasi kontena di Malaysia. 

 

Sejak itu, Northport telah mengendalikan kapal yang semakin besar kapasitinya sejak lima dekad yang lalu, sehinggalah tibanya kapal MV OOCL Japan.

 

"Dibina pada tahun 2017 dan kini berlayar di bawah bendera Hong Kong, kapal MV OOCL Japan dilengkapi teknologi terkini dan kejuruteraan moden.

 

"Kapal tersebut kini beroperasi di bawah Perkhidmatan LL3 OOCL yang menghubungkan laluan perairan Zeebrugge, Hamburg, Rotterdam, Pelabuhan Klang, Hong Kong, Nansha, Xiamen, Qingdao.

 

"Kejayaan operasi kapal MV OOCL Japan menyerlahkan kemajuan infrastruktur Northport, termasuk kemudahan terminal di bahagian laut dan darat yang canggih, direka bentuk untuk mengendalikan kapal-kapal kontena terbesar dan kompleks pada hari ini," ujar Northport.- DagangNews.com