PAC beri 3 bulan kepada HRD Corp sebelum panggil semula pengurusan teliti tindakan susulan - Mas Ermieyati | DagangNews Skip to main content

PAC beri 3 bulan kepada HRD Corp sebelum panggil semula pengurusan teliti tindakan susulan - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh tiga bulan kepada pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk mengambil tindakan susulan terhadap syor dikemukakan kepada.

 

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selepas tempoh itu, PAC akan memanggil pengurusan HRD Corp untuk meneliti laporan tindakan susulan yang dibuat.

 

"Sebab kita baharu sahaja bentangkan pada minggu lalu, jadi kita akan tunggu selama tiga bulan dan panggil mereka membuat laporan tindakan susulan terhadap syor dikemukakan oleh pihak PAC," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

 

mas
MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

 

ARTIKEL BERKAITAN: HRD Corp buat laporan SPRM susulan pendedahan Ketua Audit Negara

 

Sebelum ini, PAC mendedahkan terdapat hasil kutipan levi daripada majikan digunakan untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

 

Menurut PAC, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

 

audit
Infografik Jabatan Audit Negara

 

ARTIKEL BERKAITAN: HRD Corp didedah guna RM3.77 bilion hasil kutipan levi untuk pelaburan - PAC

 

ARTIKEL BERKAITAN: HRD Corp dibenarkan melabur di bawah undang-undang, kata Menteri Sumber Manusia

 

PAC juga mahu Kementerian Sumber Manusia membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September depan.

 

Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, laporan PAC berhubung pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan HRD Corp dibentangkan pada 4 Julai lalu.

 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada 10 Julai lalu mengumumkan kementeriannya akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas HRD Corp.

 

Sim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat isu dibangkitkan dalam LKAN 2024, yang mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguat kuasa ekoran kegagalan audit. - DagangNews.com