Pendapatan operasi lebih rendah, Dutch Lady catat penyusutan untung bersih kepada RM22 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan operasi lebih rendah, Dutch Lady catat penyusutan untung bersih kepada RM22 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Untung bersih Dutch Lady Milk Industries Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut kepada RM22 juta berbanding RM24.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan pendapatan operasi yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM360.8 juta berbanding RM351.2 juta pada 2QFY23.

 

Katanya, keuntungan operasi bagi suku berkenan berjumlah RM30.5 juta, mewakili penurunan 10.2% daripada RM33.9 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Memandangkan pembinaan kemudahan pembuatan dan pengedaran IR4.0 tercanggih di Bandar Enstek berjalan lancar, kos operasi sekali lagi yang berkaitan dengan aktiviti untuk pembinaan dan peralihan ke tapak baharu akan ditanggung.

 

"Kemudahan pembuatan baharu itu telah dirasmikan secara rasmi pada 30 Mei 2024, manakala peralihan penuh pengeluaran sedang berjalan dan akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

 

"Pemindahan pengeluaran akan diikuti dengan pembinaan pusat pengedaran khusus di Bandar Enstek yang akan dimuktamadkan pada separuh pertama 2025 dengan kilang di Petaling Jaya akan ditutup sepenunya pada suku keempat tahun ini," katanya.

 

Untung bersih kumpulan bagi separuh pertama  berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM48.7 juta berbanding RM32.8 juta disokong peningkatan hasil kepada RM723.6 juta berbanding RM705.5 juta pada 1HFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pada separuh kedua 2024, landskap perniagaan di Malaysia dijangka berdepan cabaran berterusan berikutan pelbagai ketidaktentuan domestik dan antarabangsa termasuk kadar pertukaran mata wang asing yang tidak stabil selain harga komoditi berubah-ubah.

 

Katanya, walaupun harga bahan mentah tenusu global telah mencapai tahap kestabilan, ia kekal tinggi dan semakin meningkat pada separuh kedua tahun ini.

 

"Ketegangan geopolitik yang berterusan menyebabkan turun naik selanjutnya dalam harga bahan mentah, yang boleh menyebabkan peningkatan kos untuk komoditi lain.

 

"Ketidakstabilan nilai ringgit, ketidaktentutan global dan tempatan, serta kemas kini peraturan serta perubahan kepada sistemcukai seperti kenaikan kadar SST yang mungkin membawa kepada peningkatan kos input dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com