Pendapatan Pos Malaysia susut 4.7% kepada RM443.42 juta pada suku kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Pos Malaysia susut 4.7% kepada RM443.42 juta pada suku kedua 2024

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pendapatan Pos Malaysia Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24)  susut 4.7% kepada RM443.42 juta berbanding 2QFY23.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Pos Malaysia berkata, mereka mencatatkan kerugian bersih RM55.6 juta pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024, meningkat berbanding rugi bersih RM27 juta setahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, prestasi suku kedua yang lebih perlahan daripada jangkaan disebabkan oleh persekitaran pasaran yang terus mencabar, khususnya berkaitan dengan segmen penghantaran bungkusan.

 

Menurut beliau, walaupun menghadapi rintangan dalam suku kedua, Pos Malaysia tetap berhati-hati optimis mengenai prestasi kewangan untuk tahun penuh dan komited terhadap pelan transformasi.

 

Ini merangkumi mempercepatkan perniagaan berasaskan margin, pengurusan kos dan kapasiti yang berterusan, penerapan teknologi digital, memperbaiki perjalanan pelanggan secara menyeluruh, mencapai pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai untuk semua pemegang kepentingan mereka, kata Brewer.

 

“Kami terus membuat kemajuan yang kukuh dalam melaksanakan strategi transformasi kami. 

 

"Operasi Pos Malaysia adalah berdaya tahan dan dengan inisiatif transformasi yang sedang berjalan dengan baik, kami yakin dalam keupayaan untuk memberikan hasil yang lebih baik untuk tahun penuh sambil terus memfokuskan kepada memacu pertumbuhan, meningkatkan kecekapan operasi dan mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Brewer, Pos Malaysia akan menggandakan usaha dalam pengembangan inisiatif baru seperti Pos Shop, Pos Fulfill dan usaha antarabangsa kami, redlyexpress yang diperlukan untuk mengurangkan risiko penurunan surat dan segmen bungkusan yang sangat kompetitif.

 

pos1

 

“Kami teruja berkongsi sejak pelancaran kedai Pos Shop pertama kami di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada Mei 2023 sebagai sebahagian daripada strategi transformasi runcit Pos Malaysia, kami kini telah membuka 31 kedai di Semenanjung Malaysia setakat ini, dengan pelan agresif untuk berkembang kepada 50 cawangan menjelang akhir 2024. 

 

"Pos Fulfill terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian penyimpanan dan pemenuhan pesanan, menawarkan teknologi terkini kepada sektor perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C) serta ruang gudang seluas lebih 200,000 kaki persegi di kemudahan yang terletak di Shah Alam, Bukit Raja, Kota Kinabalu dan Kuching. 

 

"Dengan penghantaran ke lebih 43 negara, perniagaan penghantaran digital merentas sempadan kami, redlyexpress, meletakkan Pos Malaysia secara unik dalam pasaran logistik global, di mana kami menyediakan model yang cekap, boleh dipercayai dan cekap kos untuk e-dagang dan peruncit dalam talian yang mencari perkhidmatan penghantaran bungkusan antarabangsa,” ujarnya.

 

Pos Aviation, anak syarikat utama dalam portfolio pelbagai Kumpulan yang telah mencatatkan pertumbuhan konsisten tahun ke tahun disokong oleh permintaan yang meningkat untuk perkhidmatan katering dalam penerbangan dan pengendalian kargo, akan terus memberi keutamaan kepada pengembangan domestik sambil memanfaatkan usaha sama terbaharu dengan SIA Engineering Company Limited (SAIEC).

 

“Untuk perniagaan teras Pos Malaysia, kami berusaha untuk memaksimumkan peluang yang ditawarkan oleh segmen bungkusan e-dagang, yang diperkukuhkan oleh standard perkhidmatan terkemuka kami di pasaran dan pengembangan berterusan produk dan perkhidmatan inovatif,” katanya.

 

Melihat ke hadapan, Pos Malaysia kekal komited untuk memajukan agenda transformasi yang merangkumi pengukuhan inisiatif kelestarian untuk masa depan yang lebih hijau dan memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor pos dan logistik Malaysia, kata Brewer.

 

"Dedikasi Kumpulan terhadap inovasi dan penyelesaian yang berfokuskan pelanggan terus memacu misi untuk menyampaikan nilai dan kebolehpercayaan kepada pemegang kepentingan dan pelanggan," katanya. - DagangNews.com