Pengagihan, penggiliran tugas bantu capai kesejahteraan keluarga (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Pengagihan, penggiliran tugas bantu capai kesejahteraan keluarga (SURAT PEMBACA)

Gambar oleh Catt Liu 

 

 

Saudara Pengarang,

 

PANDEMIK COVID-19 yang melanda dunia merupakan kemelut kesihatan yang telah memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat sejagat.

 

Pelbagai usaha dilakukan bagi mendepani pandemik ini termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Umum tahu, PKP memerlukan semua orang perlu duduk di rumah bagi mengurangkan pergerakan dan sentuhan fizikal antara individu.

 

Oleh itu, polisi bekerja dari rumah (BDR) dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan bagi menyokong usaha tersebut. Ibu bapa hanya bekerja dari rumah, manakala anak-anak hanya belajar di rumah.

 

Akibat dari itu, beban tugas ibu bapa terutamanya yang BDR semakin bertambah. Pertembungan antara tugas pejabat, kerja rumah dan tugas pemantauan PDPR anak-anak berlaku. Keadaan ini menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa semakin meningkat dan secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga itu sendiri.

 

Berdasarkan luahan di media sosial, ramai ibu bapa rasa tertekan dan terbeban dengan keadaan tersebut terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang bekerja.

 

Statistik dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati hampir setengah juta rakyat Malaysia menderita masalah stress dan depresi. Apa yang memeranjatkan kajian yang sama mendapati 424,000 orang kanak-kanak juga mengalami masalah kesihatan mental. Adalah amat membimbangkan jika situasi tersebut menjadi penyumbang kepada statistik ini.

 

Bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini, ibu bapa perlu mengambil inisiatif bagi mengurangkan dan mengelakkan tekanan yang dihadapi.

 

Beberapa panduan (tips) boleh diamalkan terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih  bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

 

Pengagihan kerja rumah boleh dilaksanakan dengan sistem penggiliran mengikut kemampuan anak-anak. Libatkan semua penghuni rumah termasuk pasangan. Penggiliran tugas adalah penting bagi mengelakkan kebosanan apabila seseorang melakukan rutin yang sama setiap hari. Selain itu, ia dapat membantu setiap penghuni belajar untuk membuat semua tugas dengan baik. Proses pembelajaran akan berlaku dan ini menjadikan seseorang akan bertambah mahir jika dibuat dengan berulang-ulang walaupun secara tidak kerap.

 

 

aaa

 

 

Jadual tugas yang adil perlu dibuat dan ditampal pada tempat yang senang dilihat oleh semua penghuni rumah. Jadual yang ditampal tersebut dapat mengelakkan anak-anak mempertikaikan tugas yang diagihkan. Sebaliknya, mereka akan dapat melihat semua penghuni rumah mempunyai tugas masing-masing dan perlu melaksanakannya dengan baik.

 

Membimbing anak-anak dalam melaksanakan sesuatu tugas adalah penting bagi membantu mereka memahami cara melakukan sesuatu tugas. Elakkan mengarah. Sebaliknya, meminta tolong dan membetulkan kesilapan mereka secara hikmah.

 

Manakala, tugas yang agak berat seperti memasak boleh dilakukan secara bergilir-gilir dengan pasangan. Secara tidak langsung ia membantu individu untuk tidak terbeban dengan tugas itu secara berterusan.

 

Walaupun setiap penghuni rumah melakukan tugas yang berbeza, tetapi sesetengah tugas boleh dilakukan secara serentak.  Situasi ini dapat memupuk kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan antara penghuni rumah.

 

 

aaa

 

 

Selain itu, dengan adanya tugas yang perlu dilakukan, ia juga dapat mengurangkan masalah ketagihan gajet dalam kalangan anak-anak. Kebosanan juga dapat diatasi dengan adanya tugas yang perlu dilakukan. Generasi berkualiti juga dapat dilahirkan dengan kaedah ini. Mereka akan lebih bertanggungjawab dan akan belajar berdikari.

 

Secara kesimpulannya, pengagihan kerja rumah adalah penting bagi mengurangkan tekanan setiap penghuni rumah. Setiap individu akan lebih menghargai usaha yang dilakukan oleh orang lain apabila mengetahui bagaimana sesuatu kerja itu dilakukan.

 

Secara tidak langsung, ia dapat memupuk rasa bersyukur dan budaya berterima kasih dalam kalangan penghuni rumah itu sendiri. Semoga usaha dan tindakan ini dapat memacu kesejahteraan keluarga dan negara.

 

Siti Rohana bt Daud,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Pengurusan & Perniagaan,
UiTM Cawangan Melaka.