Pengecualian kompaun perniagaan dilanjut 31 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Pengecualian kompaun perniagaan dilanjut 31 Disember 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pengecualian kompaun bagi kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan pendaftaran baharu akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. 

 

Perkara itu disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi sebuah kenyataan hari ini, yang menyatakan bahawa inisiatif tersebut bertujuan menyokong Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

 

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan turut melanjutkan tarikh tamat inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021. 

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

“Inisiatif ini adalah lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan mulai 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021. 

 

“Inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu pula mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2021 dan akan berakhir pada 30 Jun 2021. SSM amat berbesar hati untuk melanjutkan kedua-dua inisiatif tersebut sehingga 31 Disember 2021,” katanya. 

 

Tambah beliau, lanjutan inisiatif pengecualian kompaun itu dijangka dapat memberi penjimatan sebanyak RM13.7 juta untuk dimanfaatkan oleh lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran pemulihan ekonomi. 

 

Jelasnya lagi, pengecualian kompaun itu diperkenalkan bertujuan membantu komuniti perniagaan terutamanya di luar bandar yang tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Kementerian berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti perniagaan meneruskan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai bakal peniaga menceburi bidang perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi domestik di Malaysia yang terkesan akibat pendemik COVID-19. 

 

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03- 77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my,” katanya lagi.

 

Di bawah Pemerkasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merangkumkan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh SSM sebagai sebuah agensi di bawah KPDNHEP bagi mengurangkan beban entiti perniagaan melalui Inisiatif Ke-9: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi serta Inisiatif Ke18: Prihatin OKU. 

 

Ini termasuk inisiatif kenaikan nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, kata Alexander.

 

Ujarnya, melalui inisiatif ke-9 juga, SSM memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan. 

 

Melalui inisiatif ke-18 pula, golongan orang kurang upaya (OKU) berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan. - DagangNews.com