Penubuhan dana pelaburan National Fund-of-Funds RM1 bilion dijangka selesai Okt 2024 - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Penubuhan dana pelaburan National Fund-of-Funds RM1 bilion dijangka selesai Okt 2024 - Amir Hamzah

Matlamat utama NFOF untuk menyediakan modal kepada syarikat pemula yang inovatif dan berpotensi tinggi melalui pelaburan VC dan PE, kata MoF. -Gambar hiasan Freepik 
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Julai - Penubuhan National Fund-of-Funds (NFOF) dengan peruntukan awal RM1 bilion kini pada peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober 2024, kata Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, Khazanah Nasional akan menyumbangkan majoriti daripada jumlah pendanaan RM1 bilion tersebut manakala sebahagian lagi adalah daripada dana sedia ada dalam Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital.

 

"Matlamat utama NFOF adalah untuk menyediakan modal kepada syarikat pemula yang inovatif dan berpotensi tinggi melalui pelaburan modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE). 

 

"NFOF akan melabur kepada pengurus-pengurus dana yang melabur dalam syarikat pemula yang inovatif dan berpotensi tinggi," katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Hatta Ramli pada siding Dewan Negara hari ini.

 

mof
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, KWAP dan Blue Chip Venture Capital labur RM3 bilion di Malaysia, Asia Tenggara - PM Anwar

 

Menurut Amir Hamzah, pelabur lain seperti Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), syarikat swasta atau individu juga boleh melabur dalam pengurus dana yang sama dan, atau syarikat pemula yang sama di bawah konsep ‘crowding-in’ yang akan menarik lebih banyak pelabur ke dalam ekosistem sekali gus membina satu kitaran pendanaan yang mampan.

 

Katanya, sebagai perbandingan, Pitchbook melaporkan pada tahun 2023, Malaysia hanya mencatatkan 130 transaksi VC dengan nilai berjumlah AS$332 juta dan jumlah ini lebih rendah berbanding 205 transaksi di Indonesia dengan nilai mencecah AS$1.2 bilion dan 846 di Singapura dengan nilai AS$7.9 bilion.

 

"Pelaburan NFOF yang mengfokuskan kepada pengurus dana tempatan akan menarik pelaburan langsung domestik (DDI). NFOF juga akan menjadi rakan kongsi terhad kepada pengurus dana asing yang berminat untuk memulakan operasi di Malaysia, dengan syarat mereka perlu menambah nilai kepada ekosistem tempatan dan memperuntukkan sebahagian dana untuk syarikat pemula tempatan.

 

"Penubuhan NFOF adalah selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk memperkasa syarikat pemula serta pengurus dana Bumiputera dan bukan Bumiputera. 

 

"Penerima manfaat utama adalah rakyat Malaysia yang mempunyai teknologi atau idea perniagaan yang inovatif serta mempunyai aspirasi untuk bersaing di pasaran antarabangsa," jelasnya.

 

Secara tidak langsung, kata Amir Hamzah, NFOF akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pembangunan bakat tempatan yang bakal memacu inovasi dan kemajuan. 

 

"Selain itu, NFOF dijangka akan menyumbang kepada peningkatan kadar penembusan (penetration rate) VC Malaysia daripada AS$332 juta pada 2023 kepada AS$1.4 bilion menjelang 2030 seperti yan disarankan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024 – 2030 (MVCR)," katanya. - DagangNews.com