Penurunan ringgit beri tekanan kepada rakyat Malaysia alami bebanan kos sara hidup - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Penurunan ringgit beri tekanan kepada rakyat Malaysia alami bebanan kos sara hidup - penganalisis

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Penurunan nilai mata wang ringgit ketika ini akan memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia, disebabkan kesan daripada kenaikan harga barangan import.

 

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, penurunan ringgit juga sejajar dengan penurunan mata wang Asia lain berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi.

 

"Kos sara hidup dijangkakan akan meningkat kesan dari penurunan nilai ringgit ini. Salah satu impak dari penurunan ini juga adalah kebimbangan pelabur asing yang melihat kejatuhan pegangan ekuiti mereka menurun (dari segi nilai berbanding mata wang mereka). 

 

"Apabila mereka melihat penurunan nilai ekuiti, mereka akan berfikir untuk menjual pegangan ekuiti di Malaysia dan mencari destinasi pelaburan di negara lain yang lebih stabil daripada segi mata wang," katanya ketika dihubungi DagangNews di sini, hari ini.

 

Semalam, Bloomberg melaporkan Ringgit Malaysia telah jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1997-1998, dengan mata wang itu dibebani kenaikan dolar AS dan perbezaan kadar yang semakin meluas dengan Amerika Syarikat (AS).

 

Mata wang ringgit susut sebanyak 0.3% dari Rabu kepada 4.7607 berbanding satu dolar AS, paling lemah sejak 1998. Ia adalah prestasi terburuk di Asia pada 2023 selepas yen, setelah jatuh lebih 8% berbanding dolar AS.

 

Menurut Mohamad Khair, penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS diharap tidak akan memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

 

 

UPM
Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan

 

 

"Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan sedang meneroka inisiatif lain untuk menggalakkan negara berdagang dalam mata wang tempatan atau mata wang lain selain dari dolar AS (de-dollarisation). 

 

BACA JUGA: Ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 25 tahun, prestasi terburuk di Asia selepas yen pada 2023

 

"Langkah ini dilihat akan dapat mengurangkan kebergantungan ekonomi negara terhadap dolar AS dari sudut perdagangan dan pelaburan, yang mana jika nilai ringgit jatuh berbanding dolar AS, ekonomi Malaysia masih akan stabil kerana Malaysia berdagang menggunakan mata wang lain, contohnya yuan atau rupee," katanya. - DagangNews.com