Pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh GLC/GLIC urus tekanan jangka pendek terhadap ringgit - MOF | DagangNews Skip to main content

Pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh GLC/GLIC urus tekanan jangka pendek terhadap ringgit - MOF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan penghantaran balik serta pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) bagi menguruskan tekanan jangka masa pendek terhadap ringgit.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pelabagai langkah terselaras juga telah diambil bagi menggalakkan aliran ringgit yang lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik.

 

Beliau berkata, prestasi nilai ringgit mengatasi kesemua mata wang negara serantau dan merupakan satu-satunya mata wang yang mengukuh (+1.4%) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 26 Februari 2024. 

 

Mata wang serantau seperti rupee India (-0.8%), dolar Singapura (-0.8%), renminbi China (-0.9%), baht Thailand (-1.8%), dolar Taiwan (-2.4%), won Korea (-3.9%), peso Filipina (-4.9%), rupiah Indonesia (-5.1%) dan yen  Jepun (-5.3%) telah mengalami penyusutan nilai berbanding dolar AS.

 

"BNM akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik. 

 

"Langkah ini termasuk operasi intervensi untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan, selain BNM juga giat menjalankan sesi libat urus dan pemantauan penukaran hasil eksport kepada ringgit terhadap syarikat pengeksport. 

 

"BNM akan meneruskan usaha untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang dolar AS," katanya  ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) berhubung sebab pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

 

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada pembukaan hari ini, disokong oleh jangkaan bahawa BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% berikutan inflasi yang lebih tinggi pada Mei 2024.

 

Ini berlaku apabila bank pusat di seluruh dunia telah mula menurunkan kadar faedah mereka. Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.7065/7095 berbanding dolar AS, berbanding 4.7035/7070 pada penutup Selasa.

 

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2% pada Mei, yang boleh menyebabkan BNM mengekalkan OPR semasa untuk menguruskan inflasi.

 

Beliau berkata, ketegangan berterusan antara pasaran dan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin berterusan, dengan pasaran mempertaruhkan bahawa kadar dana Fed boleh turun kepada 2.25% menjelang suku pertama tahun depan.

 

"Pada skor itu, ringgit berbanding dolar AS berkemungkinan kekal sekitar RM4.71 dalam tempoh terdekat," katanya, lapor Bernama. - DagangNews.com