Projek awam, swasta tak putus-putus, Kenanga Research kekal penarafan Overweight sektor pembinaan   | DagangNews Skip to main content

Projek awam, swasta tak putus-putus, Kenanga Research kekal penarafan Overweight sektor pembinaan  

Pendapatan sektor pembinaan seharusnya meningkat sepanjang tahun 2024. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Jun - Prospek sektor pembinaan cukup positif disokong projek infrastruktur mega yang bakal dilancarkan seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 2 dan projek tebatan banjir di samping kerja-kerja pembinaan sektor swasta hasil pelaburan besar-besaran dalam semikonduktor dan pusat data.

 

Kenanga Research berkata, syarikat pembinaan di dalam limputan menunjukkan prestasi cemerlang pada suku pertama tahun 2024 dengan hasil mereka sama ada memenuhi atau melebihi jangkaan. 

 

"Pendapatan sektor ini seharusnya meningkat lagi sepanjang tahun ini dengan peningkatan momentum kemajuan kerja, sementara kerja-kerja pembinaan baharu terus mengalir.

 

"Jangkaan akan aliran kontrak yang kukuh telah mendorong kami untuk meningkatkan jumlah kontrak pembinaan bagi Gamuda Berhad, Sunway Construction dan Kimlun manakala FY24 IJM Corporation diakhiri dengan kemenangan kerja pembinaan yang melebihi jangkaan. 

 

"Pilihan utama kami untuk sektor ini adalah Gamuda," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

bina
Momentum kontrak baharu pembinaan sama ada daripada kerajaan dan swasta terus mengalir.  -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

Jelas Kenanga Research, Gamuda dipilih kerana berada di barisan hadapan dalam mendapatkan kontrak pembinaan terowong untuk MRT3 dan berjaya meraih bahagian dalam sektor pembinaan pusat data yang menguntungkan dan berada dalam kedudukan untuk mendapatkan lebih banyak.

 

Di samping itu, kata firma penyelidikan itu, Gamuda juga mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pekerjaan bersaiz besar di pasaran luar negara manakala pendapatannya kukuh disokong oleh jumlah pesanan sebanyak RM25.8 bilion (tidak termasuk projek Upper Padas Hydro, Penang LRT, dan projek HCS).

 

Katanya, Gamuda juga terlibat dalam ruang tenaga boleh baharu (RE).

 

"Gamuda telah mengecapi tiga kontrak bersaiz besar sejak April 2024 yang terdiri daripada pakej pusat data (RM1.74 bilion), kerja sivil bagi segmen 1 bagi Laluan Mutiara LRT Pulau Pinang (sekitar RM4.6 bilion - RM5 bilion) dan projek penanda aras kapasiti tinggi di Perth, Australia.

 

"Dengan kemenangan kontrak FY24 YTD sebanyak RM15.1 bilion hingga RM16 bilion yang berada di landasan untuk melampaui sasaran kontrak kerja dan jangkaan kami sebanyak RM25 bilion diraih dalam tempoh dua tahun dari FY24 hingga FY25.

 

"Kami menaikkan ramalan kemenangan kerja pembinaan Gamuda bagi tempoh tersebut kepada RM27 bilion," katanya.

 

Keseluruhannya, Kenanga Research mengekalkan saranan Overweight kepada sektor pembinaan.- DagangNews.com