Prospek sektor pembinaan kekal positif didorong potensi pelancaran projek baharu berkaitan kereta api - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor pembinaan kekal positif didorong potensi pelancaran projek baharu berkaitan kereta api - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jun - TA Securities mengunjurkan prospek sektor pembinaan kekal positif tahun ini terutama selepas pengumuman projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang selain potensi pelancaran projek baharu berkaitan kereta api dan projek tebatan banjir di seluruh negara.

 

Katanya, sementara menanti kemas kini struktur pembiayaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura), projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dijangka dianugerahkan menjelang akhir suku ketiga 2024.

 

"Ia dijangka memberi kesan besar terhadap industri pembinaan disebabkan skalanya.

 

"Selain tu, kerajaan juga menunjukkan komitmennya terhadap projek tebatan banjir menerusi peruntukan RM11.8 bilion untuk 33 projek keutamaan tinggi dalam Bajet 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan empat daripada lapan syarikat di bawah liputannya pada suku pertama tahun ini memenuhi jangkaan merangkumi Gamuda Bhd, Sunway Constrction Group Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd dan Inta Bina Group Bhd. 

 

Katanya, keputusan IJM Corp Bhd melebihi jangkaan disokong sumbangan yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada sektor perniagaan bukan terasnya, terutamanya bahagian industri dan infrastruktur.

 

Begitu juga, WCT Holdings Bhd melaporkan pendapatan teguh yang melebihi unjuran, didorong oleh prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dalam bahagian pembangunan hartanah dan pelaburan hartanahnya.

 

"Secara umum, kebanyakan syarikat pembinaan dalam liputan kami percaya bahawa kos bahan mentah semakin stabil.

 

"Sementara itu, kami mendapati bahawa keterlihatan pendapatan syarikat pembinaan tertentu semakin kukuh apabila lebih banyak projek pusat data baharu dijamin," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'overweight' dengan Sunway Construction serta Inta Bina adalah pilihan utama dalam sektor itu.- DagangNews.com