Reneuco raih projek kejuruteraan awam, telekomunikasi bernilai RM14.93 juta di sepanjang SKVE | DagangNews Skip to main content

Reneuco raih projek kejuruteraan awam, telekomunikasi bernilai RM14.93 juta di sepanjang SKVE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Reneuco Berhad berjaya meraih projek kejuruteraan awam dan pemasangan talian telekomunikasi bernilai RM14.93 juta di sepanjang Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

 

Projek itu juga melibatkan kerja-kerja dia dua jalan persekutuan di Kuala Langat dan Sepang.

 

Kumpulan itu menerusi Reneuco Engineering Sdn. Bhd. memperoleh surat anugerah (LoA) bagi projek itu daripada MSA Resources Sdn Bhd.

 

"Kerja-kerja tersebut melibatkan pemasangan kabel gentian optik dan penyediaan perkhidmatan rangkaian jalur lebar di sepanjang lebuh raya.

 

"Syarikat itu juga akan menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel telekomunikasi di jalan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) di Kuala Langat dan Sepang," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Projek itu akan dijalankan selama dua bulan dari 1 November hingga 31 Disember 2023.

 

Ia merupakan projek kedua yang diumumkan oleh Reneuco tahun ini.

 

Tiada jaminan bahawa LOA tidak akan terdedah kepada risiko seperti penamatan LOA dan ketidakupayaan bagi memenuhi terma dan syarat selain daripada risiko yang wujud dalam projek.

 

Lembaga Pengarah akan berusaha untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan bahawa terma dan syarat LOA dipenuhi tepat pada masanya selain mengambil langkah yang perlu bagi mengurangkan risiko.

 

Pada Mei lalu, kumpulan itu memperoleh kontrak RM22.88 juta daripada ZBS Optima Trading Sdn Bhd sebagai subkontraktor bagi Skim Bekalan Air Sg Rasau Fasa 1 di Selangor, iaitu untuk melaksanakan pentauliahan pengepaman keluli lembut dan kerja-kerja yang berkaitan. - DagangNews.com