Saham Top Glove paling aktif diniagakan pagi ini, penganalisis semak turun TP kepada serendah 50 sen | DagangNews Skip to main content

Saham Top Glove paling aktif diniagakan pagi ini, penganalisis semak turun TP kepada serendah 50 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - Firma-firma penyelidikan menyemak turun harga sasaran (TP) Top Glove Corp. Bhd. selepas syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu merekodkan kerugian buat kali pertama sejak disenaraikan pada 2001 dengan menjangkakan kelemahan harga jualan purata (ASP) akan terus mempengaruhi prospeknya. 

 

Dalam laporan kewangan suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 yang diumumkan semalam, kumpulan 
mencatat kerugian bersih sebanyak RM52.59 juta berbanding keuntungan bersih RM447.4 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan industri sarung tangan getah sedang mengalami kesan normalisasi selepas pandemik COVID-19.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu merosot kepada RM990.1 juta berbanding RM2.07 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Secara keseluruhan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22), pendapatannya susut mendadak kepada RM5.57 bilion daripada RM16.36 bilion dengan keuntungan bersih merosot kepada RM235.97 juta daripada RM7.71 bilion. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw berkata, keuntungan bersih teras Top Glove dijangka terus susut sehingga 90% tahun ke tahun bagi FY23 dengan ASP terus menurun 28.5% kepada AS$19 per 1,000 keping dengan kadar penggunaan pada 50%. 

 

Katanya, lebihan bekalan dalam pasaran sarung tangan getah global pula hanya dijangka surut menjelang separuh kedua FY23. 

 

"Meskipun Top Glove berusaha untuk menaikkan ASP sebanyak 5% pada Oktober 2022 bagi melepaskan kenaikan kos, tetapi langkah ini dilihat sukar dalam tempoh terdekat. 

 

"Ini mengambil kira persekitaran operasi yang mencabar, memandangkan kadar penggunaan industri masih kekal di bawah 40% hingga 45%, manakala ASP semasa berada antara AS$18 hingga AS$20 per 1,000 keping," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Top Glove

 

Baca : Top Glove rugi RM52.59 juta pada suku keempat, pendapatan terus merosot

 

Beliau bagaimanapun positif dengan keputusan Top Glove untuk menangguhkan pelan pengembangannya pada tahun hadapan kerana ia akan mengurangkan tekanan untuk menjual kapasiti baharu di samping impak positif ke atas keseluruhan dinamik bekalan-permintaan sarung tangan global.

 

Top Glove sebaliknya menyasarkan untuk mengembangkan kapasiti tahunannya sebanyak 4% pada 2024 dan 11% pada 2025. 

 

Mengambil kira semua faktor ini, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Top Glove dengan TP diturunkan kepada 50 sen daripada RM1 sebelum ini. 

 

Sejajar dengan semakan TP itu, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY24 juga dikurangkan antara 60% hingga 86.5% berikutan jumlahjualan yang lebih rendah daripada jangkaan dan kelemahan ASP.

 

 

Top Glove

 

 

Sementara itu, Kenanga Research turut mengurangkan mengurangkan TP Top Glove kepada 60 sen berbanding 65 sen sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'underperform'. 

 

Malah, penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon turut menyemak turun keuntungan bersihnya bagi FY23 sebanyak 33% memandangkan ASP dikurangkan kepada AS$20 daripada AS$21 per 1,000 keping dan kadar penggunaan lebih rendah pada 60% daripada 65%. 

 

"Kami merasionalkan asas penilaian kami kepada berasaskan aset (daripada berasaskan pendapatan sebelum ini) kerana kami percaya pendapatannya akan terus berada dalam tekanan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang," katanya. 

 

Beliau menjangkakan ASP akan terus kekal lemah pada separuh kedua 2022 disebabkan pengembangan kapasiti secara besar-besaran oleh pemain sedia ada dan baharu ketika tempoh pandemik akibat terpengaruh dengan keuntungan yang berlipat kali ganda. 

 

Katanya, kapasiti pengeluaran sarung tangan getah global dijangka melonjak 22% kepada 511 bilion keping pada 2022.

 

"Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mencapai keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu sementara permintaan global terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan terhadap penjagaan kebersihan," jelasnya.

 

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut mengurangkan TP Top Glove kepada 54 sen daripada 83 sen dengan mengekalkan saranan 'jual'. 

 

Firma itu turut menyemak turun unjuran pendapatannya bagi FY23 hingga FY24 antara 18% hingga 52% setelah mengurangkan anggaran kadar penggunaan sebanyak 55% dan 75%. 

 

Saham Top Glove diniagakan dalam kalangan kalangan kaunter paling aktif pagi ini, yang menyaksikan harga sahamnya susut 1.5 sen atau 2.13% kepada 69 sen dengan 18.19 juta saham diniagakan. - DagangNews.com