Sains semakin diterima, namun mampukah trend ini bertahan? | DagangNews Skip to main content

Sains semakin diterima, namun mampukah trend ini bertahan?

 

Oleh Kevin McGuigan
Naib Presiden dan Pengarah Urusan 3M Rantau Asia Tenggara dan Ketua Negara, Singapura

 

Semasa penularan wabak COVID-19, sains telah menjadi sinar harapan bagi penduduk di serata dunia. Dengan keupayaan sains, kita dapat merungkai bagaimana virus COVID-19 berfungsi dan berjaya membangunkan vaksin dalam jangka waktu yang amat singkat, berbekalkan pengalaman berusia bertahun lamanya menerusi pelbagai penyelidikan dan penemuan saintifik.

 

Sentimen ini juga telah diperlihatkan dalam State of Science Index (SOSI), iaitu kajian tahunan yang ditauliahkan kepada pihak ketiga oleh syarikat sains bertaraf global, 3M untuk memantau sikap orang ramai terhadap sains. Dijalankan sejak bulan Februari hingga Mac tahun ini, kajian edisi 2021 melibatkan 17,000 individu, berbanding edisi yang sebelumnya yang mencakupi 14,000 individu – justeru ia merupakan kumpulan data yang terbesar setakat ini.

 

Menurut kajian tersebut, sains telah memberi harapan yang besar kepada ramai individu di rantau Asia Pasifik. Apabila perhatian beralih kepada vaksin, ramai di sini mengharapkan sains untuk mengembalikan kehidupan mereka seperti sedia kala dan menggiatkan lagi usaha pemulihan. Seramai 91% responden di rantau APAC (Asia Pasifik) menyatakan bahawa sains memberikan mereka harapan yang optimistik mengenai masa hadapan, dan 90% berharap sains dapat menjadikan tahun 2021 lebih baik daripada tahun 2020.

 

Harapan melahirkan keyakinan

 

Di samping harapan yang dikendong, keyakinan terhadap sains juga mula menunjukkan peningkatan. Majoriti besar (91%) responden Asia Pasifik meyakini keupayaan sains hari ini dan 86% daripada mereka mempercayai para saintis. Angka ini merupakan antara yang tertinggi bagi aspek keyakinan warga umum terhadap sains sejak SOSI yang pertama dilaksanakan pada tahun 2018.

 

Tambahan lagi, 60% daripada mereka percaya bahawa sains memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian masa kini, iaitu sedikit lebih tinggi berbanding purata global, 56%.

 

Kevin McGuigan
Kevin McGuigan

 

Kita juga sedang menunjukkan sikap yang berbeza. Sebanyak 73% menyatakan bahawa mereka akan mempertahankan sains jika ada individu yang mempersoalkannya. Kenyataan ini penting semasa menavigasi pelbagai naratif yang bercanggah atau salah sama sekali mengenai pandemik COVID-19 serta vaksin.

 

Kesan sampingan terhadap kelestarian

 

Berbanding kepercayaan umum, isu perubahan iklim tidak dibelakangkan oleh pandemik semasa. Sebaliknya, COVID-19 telah menjadikan APAC bersikap lebih peka terhadapnya – lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan negara-negara lain di serata dunia. 82% menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah meningkatkan kepekaan mereka terhadap kepentingan alam sekitar, iaitu lima mata lebih tinggi berbanding purata global.

 

Sebanyak 90% daripada mereka bersetuju bahawa tindakan segera diperlukan untuk menangani isu perubahan iklim menerusi solusi-solusi yang lebih baik. Di samping itu, 89% di rantau ini juga percaya bahawa warga umum perlu mengikut haluan yang dicorak oleh sains untuk menjadikan dunia ini lebih lestari.

 

Dan sentimen ini dijulang oleh para pemimpin negara.

 

Sebuah laporan yang dikeluarkan pada bulan Disember 2020 oleh UN ESCAP mendapati bahawa negara-negara di Asia Pasifik telah mewartakan 111 polisi serta pendekatan yang menyasarkan pemulihan bersifat lestari.

 

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 Malaysia pada November lalu, pihak kerajaan sedang memberikan fokus yang baharu ke atas kelestarian. Ia meliputi pengenalan dana amanah untuk menggalakkan warga umum serta swasta menyumbang kepada matlamat pembangunan lestari yang disasarkan; mewartakan bon kelestarian negara yang pertama; memberi insentif kepada kerajaan negeri untuk melindungi biodiversiti; serta melancarkan program penanaman dan pemeliharaan bakau.

 

Namun mampukah trend ini bertahan?

 

Sains merupakan tonggak yang penting dalam menyelesaikan cabaran terbesar yang dihadapi oleh masyarakat. Hasil kajian tahun ini memperlihatkan bahawa ramai bersetuju.  Kita telah membuat lonjakan dalam penghargaan terhadap sains dan juga dapat menyaksikan lebih ramai individu tampil ke hadapan demi sains.

 

Namun masih banyak lagi usaha yang perlu disumbangkan. Sebanyak 89% percaya bahawa kita perlu meningkatkan diversiti dan keinklusifan dalam bidang STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan, dan Teknologi), dan 91% percaya bahawa entiti-entiti korporat perlu memainkan peranan mereka dalam menambah baik aspek diversiti dalam bidang STEM.

 

Di samping itu, dengan penemuan varian-varian baharu serta gelombang jangkitan yang sedang menyusul, maka sukar untuk menganggarkan bila wabak ini akan berakhir. Setahun sudah pun berlalu, dan masih awal lagi untuk mengunjurkan sama ada sentimen terhadap sains yang disaksikan ketika ini akan berkekalan.

 

Seramai 29% individu di Asia Pasifik tidak pasti sama ada apresiasi orang ramai terhadap sains akan berterusan. Meskipun ia lebih rendah berbanding angka global yang berkadar 41%, namun trend ini membimbangkan. Kepercayaan dan penghargaan terhadap sains adalah mustahak bagi memerangi penyebaran maklumat salah mengenai COVID-19 dan vaksin, dan isu ini mempunyai implikasi yang serius ke atas jangka waktu proses pemulihan. Sehubungan itu, kita perlu meneruskan usaha ini demi sains.

 

Entiti korporat memainkan peranan yang penting dalam menjulang kepentingan sains

 

Para peneraju entiti korporat dan perniagaan mampu memberi sumbangan mereka dengan menjadi penaung sains. Antara langkah yang boleh diambil ialah penyediaan peluang pendidikan STEM yang berkualiti buat warga komuniti.

 

Di Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Vietnam, 3M menjulang kepentingan sains dan inovasi melalui The 3M Inspire Challenge, iaitu sebuah pertandingan peringkat serantau yang menggalakkan para pelajar universiti dari pelbagai aliran untuk membangunkan solusi-solusi yang bertemakan Teknologi, Kelestarian, dan Inovasi.

 

Entiti-entiti korporat sedar tentang kepentingan dan kuasa sains kerana mereka memanfaatkannya dalam perniagaan masing-masing untuk membangunkan produk dan solusi yang lebih baik, selain mewujudkan fasiliti yang bertaraf tinggi serta mengoptimumkan model perniagaan.

 

Dengan penglibatan entiti perniagaan, sains dapat dijulang dengan menggembleng sumber mereka, dan saya yakin kita dapat meneruskan momentum ini demi masa hadapan yang lebih cerah, selamat, saksama dan hijau di rantau ini serta seluruh dunia. - DagangNews.com