Sentimen pengguna masih terjejas, namun kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam mampu jadi pemangkin kepada MR.DIY | DagangNews Skip to main content

Sentimen pengguna masih terjejas, namun kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam mampu jadi pemangkin kepada MR.DIY

MR.DIY akan membuka 180 buah kedai baharu pada tahun kewangan 2024 dengan memberikan penekanan di Sabah dan Sarawak.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - RHB Investment Bank berkata, kajian semula skim gaji 1.6 juta penjawat awam yang bakal dilaksanakan kerajaan tahun ini akan menjadi pemangkin kepada MR.DIY Group (M) Bhd.

 

Menurut firma penyelidikan itu, MR.DIY juga mempunyai rangkaian cawangan yang luas dan model perniagaan yang berkesan untuk meraih perbelanjaan pengguna yang tinggi.

 

"Secara asasnya, kami menjangkakan model perniagaannya yang terbukti berkesan dalam menawarkan pelbagai jenis barangan pada harga berdaya saing di lokasi-lokasi kedai yang strategik, patut terus menarik permintaan dalam kalangan pengguna tegar biarpun sentimen pengguna tetap terjejas," katanya.

 

Dalam nota kajian hari ini, RHB Investment berkata, pengembangan rangkaian kedai MR.DIY dijangka menjadi faktor pendorong pertumbuhan yang utama kerana kumpulan itu merancang untuk membuka 180 buah kedai baharu pada tahun kewangan 2024 (FY24) dengan memberikan penekanan di Sabah dan Sarawak yang rata-ratanya belum lagi ditembusi.

 

Katanya, cawangan MR.DIY di kedua-dua wilayah itu menjana jualan purata lebih tinggi bagi setiap buah kedai. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kos sara hidup meningkat, Kenanga Research unjur pengguna berhati-hati berbelanja sehingga 2024

 

awam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun 2024./Gambar hiasan FB JPA

 

"Tambahan itu, trend negatif dalam pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) mungkin dapat dikembalikan apabila kesan kemerosotan permintaan kembali reda," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu, bagaimanapun berpendapat, MR.DIY sepatutnya mengambil tindakan lebih agresif untuk menawarkan harga yang lebih murah supaya dapat menarik perbelanjaan pengguna dengan memanfaatkan margin keuntungan kasar (GPM) yang baik. 

 

Mengenai FY23, RHB Investment berkata, hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 meningkat 9% YoY kepada RM4.4 bilion, diperkukuh oleh pengembangan cawangan kedai baharu.

 

MR.DY membukan 175 cawangan baharu pada tahun lalu, mnjadi 1,261 buah keseluruhannya.

 

"Pertumbuhan SSSG pula mencecah -3.7% setelah terkesan teruk oleh permintaan yang merosot akibat kenaikan harga jualan purata (ASP) dan sentimen pengguna yang lemah. 

 

"Sementara itu, GPM FY23 menokok 4ppt kepada 45.4% berikutan kenaikan harga purata jualan (ASP) dan kos tambang muatan yang kembali terkawal. 

 

"Hal ini berjaya menampung kenaikan kos operasi dan melonjakkan untung sebelum cukai (PBT) FY23 untuk menaik 17% YoY menjadi RM753 juta," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM2.20 daripada RM2.29 sesaham.

 

"Risiko-risiko negatif terhadap saranan kami termasuk sentimen pengguna lebih lemah daripada jangkaan dan kenaikan kos operasi yang mendadak," ujarnya.- DagangNews.com