Steel Hawk sasar kumpul RM13.5 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Steel Hawk sasar kumpul RM13.5 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Firma perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G), Steel Hawk Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM13.5 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, pelaksanaan pemindahan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 90 juta saham biasa baharu, membentuk 18.37% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham.

 

Ia juga melibatkan tawaran penjualan 44.7 juta saham sedia ada, atau 9.12% daripada modal saham yang diperbesarkan, kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Daripada 90 juta saham baharu yang akan diterbitkan, 24.5 juta saham baharu, mewakili 5% daripada modal saham yang diperbesarkan akan dibuka untuk permohonan kepada orang ramai Malaysia manakala 12.25 juta saham mewakili 2.5% daripada modal saham yang diperbesarkan akan disediakan kepada pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sejumlah 53.25 juta saham baharu, atau 10.87%, daripada modal saham yang diperbesarkan akan diterbitkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Berdasarkan harga IPO 15 sen sesaham dan saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 490 juta saham, permodalan pasaran Steel Hawk semasa penyenaraian adalah lebih kurang RM73.5 juta.

 

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K Michael berkata, daripada RM13.5 juta yang akan diperoleh daripada pemindahan penyenaraian, RM7 juta (51.85%) akan digunakan mengembangkan kapasiti keseluruhan fabrikasi kami lima kali ganda daripada anggaran 13 tan metrik 65 tan sebulan sebulan dengan membina kawasan fabrikasi tambahan di Kemaman, Terengganu (Kemudahan Teluk Kalung 2).

 

Beliau berkata, sejumlah RM2 juta (14.81%) akan digunakan bagi membiayai modal kerja dengan membeli bahan mentah seperti paip, kelengkapan dan struktur dan RM1 juta (7.41%) digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank manakala baki RM3.5 juta (25.93%) akan digunakan untuk menampung pemindahan perbelanjaan penyenaraian,

 

"Bagi memacu pertumbuhan dan memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran teknikal sedia ada, kami berhasrat untuk mengembangkan EPCC dan perkhidmatan penambahbaikan/penyelenggaraan kemudahan kami ke industri tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya pada infrastruktur tenaga suria dan tenaga hidroelektrik.

 

"Tambahan pula, kami ingin menyediakan perkhidmatan sambungan dan pentauliahan (HUC) bersepadu untuk menghubungkan infrastruktur O&G.

 

"Perkhidmatan HUC darat akan melibatkan perkhidmatan fabrikasi, pemasangan, penyepaduan sistem, dan pra pentauliahan komponen dan sistem; manakala perkhidmatan HUC luar pesisir akanmelibatkan pengangkutan dan pemasangan (“T&I”), memasang komponen yang direka, perkhidmatan sambungan dan pentauliahan permulaan," katanya.

 

Permohonan untuk IPO sudah bermula dan akan ditutup pada 23 Ogos dan penyenaraian telah dijadualkan pada 5 September 2024.

 

UOB Kay Hian merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com