Taraf saranan FM Global diturunkan kepada ‘neutral’ akibat tiada pemangkin menarik – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan FM Global diturunkan kepada ‘neutral’ akibat tiada pemangkin menarik – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - RHB Investment menurunkan taraf saranan FM Global Logistics Holdings Bhd kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 64 sen sesaham daripada 68 sen memandangkan syarikat itu tidak mempunyai pemangkin yang menarik.

 

Ia mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) sebanyak 2% hingga 10% untuk mengambil kira pemulihan yang lebih perlahan dalam jumlah penghantaran dan kadar tambang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, penyedia perkhidmatan logistik itu juga dinilai secara saksama sekarang, berdagang pada 10.1 kali, iaitu sejajar rapat dengan min sejarah pra-COVID-19 sebanyak 10.3 kali.

 

Firma berkenaan berkata, prospek jangka pendek penyedia perkhidmatan logistik tersebut kekal lemah berikutan kadar tambang muatan dan jumlah penghantaran kembali ke paras pra-pandemik, meskipun sektor pengangkutan darat dan logistik pihak ketiga (3PL) terus menunjukkan pertumbuhan keuntungan kasar yang memberangsangkan.

 

Di samping itu, krisis Laut Merah hanya memberi kesan neutral kepada kumpulan memandangkan kenaikan kadar pengangkutan laut ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan. 

 

“Jika permintaan meningkat mendadak dan kekangan bekalan semakin ketat, ini boleh memberikan peluang harga yang lebih baik untuk syarikat penghantaran utama seperti FM Global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), iaitu Jun hingga Disember 2023, FM Global telah mencatat pendapatan teras RM17 juta yang hanya merangkumi 44% daripada anggaran tahun penuh RHB Investment bagi FY24.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FM Global Logistics susut kepada RM8.9 juta pada 2QFY24 kesan kelemahan aktiviti perniagaan

 

“Prestasi suku tahunan yang lembap telah terkesan oleh kelemahan ekonomi domestik dan global, kos kakitangan lebih tinggi dan jumlah penghantaran lebih rendah akibat persaingan lebih sengit,” jelasnya.

 

Firma itu berkata jumlah penghantaran pengangkutan laut, udara dan darat kumpulan pada 1HFY24 berjumlah 55,482 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), 4.183 juta kg dan 8,410 TEU, yang mewakili 53%, 42% dan 60% daripada anggaran firma untuk FY24. 


“Jumlah kargo udara masih berprestasi rendah kerana permintaan kekal lemah. Dalam jumlah penghantaran muatan kontena penuh (FCL), 1QFY24 secara relatifnya stabil pada 46,922 TEU (-1.3%), dengan FCL laut yang lebih rendah diimbangi oleh pertumbuhan 39.8% FCL darat,” tambahnya.

 

Pada pukul 10:41 pagi ini, saham FM Global kekal pada 61.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM343.4 juta. - DagangNews.com