Tawaran pengambilalihan Scoop Capital ke atas Apollo pada RM5.80 sesaham adil dan wajar – UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Tawaran pengambilalihan Scoop Capital ke atas Apollo pada RM5.80 sesaham adil dan wajar – UOB Kay Hian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - UOB Kay Hian Securities berkata tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat oleh Scoop Capital Sdn Bhd untuk memperoleh baki saham dalam Apollo Food Holdings Berhad pada RM5.80 sesaham adalah “adil dan wajar”.

 

Firma penyelidikan itu dalam pekeliling nasihat bebas hari ini menyarankan pemegang saham untuk menerima harga tawaran itu.

 

Jelasnya, harga tawaran RM5.80 tersebut berada dalam julat nilai saksama setiap saham Apollo antara RM5.727 dan RM6.028.

 

Harga tawaran itu juga mewakili premium antara 6.65% hingga 23.74% berbanding harga penutup terakhir saham Apollo dan harga purata mengikut jumlah dagangan (VWAP) 5 hari, 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan dan 1 tahun pada dan sehingga tarikh dagangan terakhir (LTD), iaitu 15 Disember 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scoop Capital beli 51.31% saham Apollo pada harga RM238.08 juta, melanjutkan tawaran pengambilalihan pada RM5.80 sesaham

 

Selain itu, harga tersebut mewakili premium sebanyak 0.35% berbanding harga penutup terakhir dan VWAP lima hari saham Apollo pada dan sehingga 11 Januari 2024 sebagai tarikh praktik terkini (LPD).

 

Mengulas tentang kewajaran tawaran itu, UOB Kay Hian berkata saham Apollo secara relatifnya tidak cair jika dibandingkan dengan Indeks Produk Pengguna KLCI (KLCSU), kerana purata pusing ganti kecairan dagangan saham (tidak termasuk unsur luaran) sebanyak 3.21% adalah lebih rendah daripada purata kecairan dagangan bulanan KLCSU (6.29%) dalam tempoh yang sama.

 

“Pemegang saham, terutamanya yang mempunyai pegangan saham lebih besar, harus ambil perhatian bahawa anda mungkin mempunyai peluang yang terhad atau mungkin mengambil masa untuk merealisasikan pelaburan anda dalam Apollo melalui urus niaga di pasaran terbuka,” ulasnya dalam pekeliling tersebut.

 

Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata selain tawaran ini, Lembaga Pengarah tidak menerima sebarang tawaran alternatif lain untuk saham tawaran, mahupun untuk memperoleh perniagaan, aset dan liabilitinya, memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan mereka.

 

UOB Kay Hian berkata Scoop Capital kini memegang majoriti kira-kira 51.31% saham, membolehkannya mengawal keputusan resolusi biasa dan resolusi khas yang diperlukan pada mesyuarat agung Apollo.

 

Tarikh penutupan pertama bagi tawaran itu adalah 29 Januari 2024 pada pukul 5 petang.

 

Firma itu berkata penawar, Scoop Capital, dan penawar utama bersama, iaitu Datuk Cheah See Yeong dan Soon Gock Lan, berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Apollo di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Setakat pukul 3:26 petang ini, saham Apollo kekal pada RM5.78 dengan permodalan pasaran berjumlah RM462.4 juta. - DagangNews.com