Tempah Proton X50 menerusi pihak ketiga yang sah | DagangNews Skip to main content

Tempah Proton X50 menerusi pihak ketiga yang sah

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 8 Okt. - Pelancaran Proton X50, yang bakal berlaku tidak lama lagi telah menarik minat ramai pembeli kereta di Malaysia dan orang ramai diminta berurusan dengan wakil pengedar kereta Proton yang sah.

"Malangnya, kami dimaklumkan bahawa ada pihak telah memberi gambaran yang tidak benar dengan mengatakan mereka adalah ejen Proton ataupun mendakwa mempunyai kaitan dengan Proton demi mengaut keuntungan.

"Pihak Proton ingin menegaskan bahawa hanya tempahan yang diterima melalui rangkaian jualan Proton yang rasmi akan diakui sebagai tempahan yang sah. Proton tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkaian jualan rasminya sebagai ejen jualan produk kami,'' kata syarikat itu dalam kenyataan media.

Proton menasihati semua bakal pembeli untuk sentiasa berwaspada sebarang tuntutan dari individu atau organisasi, dan pada masa yang sama, semua pelanggan diminta menghubungi pihak Proton jika ada sebarang kemusykilan.

"Pelanggan adalah keutamaan Proton. Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi rangkaian jualan rasmi Proton, sila layari laman web rasmi kami di https://www.proton.com/en/dealer-locator atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-88-8398.

"Jumlah tempahan awal yang telah diterima amat memberangsangkan dan pihak Proton ingin mengucapkan terma kasih kepada semua yang memberi sokongan," kata Proton.

Proton Holdings Bhd bermula sebagai projek kereta nasional pertama di Malaysia, yang diasaskan dengan tujuan memesatkan pembangunan ekonomi Malaysia dan mewujudkan asas yang kukuh untuk industri automotif tempatan.

Pada tahun 2017, Proton bergerak ke fasa seterusnya untuk menjadi jenama automotif moden dan bertaraf global melalui kerjasama antara DRB-Hicom dan Zheijiang Geely Holding Group.

Hari ini, Proton terus menarik minat pelanggannya dengan penghasilan kereta yang menepati janji jenamanya iaitu ‘Inspiring Connections’ dan berdiri teguh dengan nilai terasnya untuk sentiasa mementingkan Teknologi Inovatif, Kobolehpercayaan dan bertaraf Antarabangsa. - DagangNews.com