Mardi lancarkan tiga produk inovasi bagi keterjaminan makanan negara | DagangNews Skip to main content

Mardi lancarkan tiga produk inovasi bagi keterjaminan makanan negara

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) bersama Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani (kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Dr Azman Ismail melancarkan produk Inovasi Mardi 2024 di majlis perasmian penutup sempena Hari Inovasi Mardi 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

SERDANG 17 Okt - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melancarkan tiga produk inovasi bagi keterjaminan makanan di negara ini.

 

Menurut agensi itu dalam satu kenyataan, tiga produk berkenaan adalah Phyllantoimmune dan Phyllantoimmune Plus: Booster Imuniti daripada pokok Dukung Anak, Kit Pengesanan DNA Khinzir Dalam Makanan dan Baja Nano Misel: Teknologi pelepasan nutrien secara bersasar.

 

Pelancaran inovasi itu dibuat pada Majlis Penutupan Hari Inovasi Mardi 2024 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup, di Serdang, hari ini.

 

Hari Inovasi Mardi yang diadakan pada setiap tahun, merupakan satu platform bagi warga agensi itu mempersembahkan hasil kajian yang berinovatif selari dengan amanah dan tanggungjawab sebagai institusi penyelidikan agromakanan utama negara. 

 

Dengan bertemakan Aspirasi Madani: Mencetus Inovasi, Menuai Solusi yang dipilih berdasarkan enam nilai teras kerajaan untuk membangunkan Malaysia MADANI, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mardi dapat dicapai menerusi pembudayaan inovasi berterusan dalam kalangan warga kerja yang seterusnya menggalakkan daya fikir dan kreativiti mencetus inovasi, untuk menyelesaikan permasalahan dan memenuhi keperluan semasa pertanian negara. 

 

Sempena Hari Inovasi MARDI 2024, sebanyak 210 hasil penyelidikan berupa inovasi dan pengetahuan telah dipertandingkan dan dipamerkan. 

 

Ia merupakan antara pencapaian penyelidikan yang disumbangkan menerusi Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12, Projek Khas Kementerian (Projek Keterjaminan Makanan dan Projek MADANI) serta projek-projek khas dalaman Mardi.

 

Menurut Arthur, Mardi sentiasa menerapkan pendekatan baharu dalam penyelidikan bagi menghasilkan inovasi dan teknologi untuk sektor pertanian dan industri makanan. 

 

"Fokus penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara bagi menjamin keterjaminan makanan," katanya.

 

Bersempena dengan majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah iaitu 10 Anugerah Inovasi MARDI (AIM), tujuh anugerah khas bagi pertandingan Mardi Science And Technology Exhibition (MSTE), enam bagi pertandingan sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) dan enam Anugerah Akar Umbi Mardi (AUM). 

 

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Dr Azman Ismail, Ketua Pengarah Mardi, Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani. - DagangNews.com