KUALA LUMPUR 24 Okt - Potensi kejayaan Belanjawan 2025 bergantung kepada pelaksanaan dasar yang berpaksikan disiplin fiskal, keterangkuman ekonomi dan penggunaan inovasi teknologi bagi memacu pertumbuhan mampan.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Anthony Dass berkata, MIER kekal optimistik terhadap prospek ekonomi Malaysia bagi 2025 yang membawa pelbagai peluang dan cabaran.
Menurutnya, MIER mengunjurkan sasaran pertumbuhan realistik keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2025 mencecah 4.5% hingga 5.5%.
Beliau berkata, MIER juga menjangkakan permintaan domestik, eksport, keyakinan pelabur dan inflasi sejajar dengan trend inflasi global yang semakin reda dan kestabilan politik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi.
"Pertumbuhan itu juga akan disokong oleh rangka kerja Madani yang berterusan mengenai pembaharuan struktur serta impak positif daripada dasar kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kemajuan dalam sektor seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Bagaimanapun, Dass berkata, cabaran ekonomi negara kekal berterusan akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, kedudukan fiskal negara yang mengalami tekanan akibat keperluan perbelanjaan awam yang berterusan untuk infrastruktur dan program sosial.
"Ketidaksamaan pendapatan dan keterangkuman, daya saing, kelestarian alam sekitar dan isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh merupakan antara faktor yang melembapkan kemajuan pertumbuhan kami," katanya.
Menurut Dass, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, dengan tumpuan kepada inovasi, kemampanan dan integrasi pasaran global.
Memandangkan sumbangan PKS kepada KDNK adalah sekitar 38% dan menggaji hampir 50% tenaga kerja, beliau berkata, terdapat beberapa faktor dijangka membentuk pembangunan mereka.
Ini termasuk transformasi digital bagi mempercepatkan penggunaan alat digital mereka dan akses kepada pembiayaan dengan mengembangkan perbankan digital dan inovasi fintech.
"Kerajaan telah membentangkan dasar dan program khusus bagi memupuk pertumbuhan PKS seperti insentif cukai, geran dan inisiatif pembinaan kapasiti.
"Peruntukan Belanjawan 2025 dan seterusnya dijangka memberi tumpuan kepada memperkasakan PKS melalui latihan kemahiran, pendigitalan dan menyediakan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan," katanya. - DagangNews.com