Syarikat pemula FeedMe dipilih sertai Akademi AI sulung Google, bantu bentuk masa depan teknologi di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Syarikat pemula FeedMe dipilih sertai Akademi AI sulung Google, bantu bentuk masa depan teknologi di Asia Pasifik

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Okt - Syarikat pemula hospitaliti dari Malaysia, FeedMe, muncul antara 23 firma yang dipilih dari seluruh Asia Pasifik (APAC) untuk mengambil bahagian dalam Akademi AI pertama Google di rantau ini. 

 

Direka bentuk untuk membantu syarikat pemula memperhalusi penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan memajukan pertumbuhan perniagaan, program itu bermula minggu ini dengan kem latihan interaktif selama tiga hari di Singapura, menghimpunkan semua pengasas yang mengambil bahagian dari Malaysia dan enam negara lain iaitu Korea, Jepun, India, Indonesia, Singapura dan Pakistan. 

 

Syarikat-syarikat pemula dalam program berkenaan akan menerima lebih 170 jam bimbingan yang disesuaikan daripada pakar AI dan Cloud, sehingga RM1.5 juta dalam bentuk kredit Google Cloud dan peluang untuk berhubung dengan rakan inovator AI di seluruh rantau Asia Pasifik.

 

FeedMe sedang membangunkan platform perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) yang dikuasakan AI untuk merevolusikan kecekapan perniagaan makanan dan minuman, membawa operasi mereka ke peringkat seterusnya. 

 

Ketua Pegawai Teknologi FeedMe, Lo King Wei berkata, pihaknya membantu pemilik restoran membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

"Dengan bimbingan daripada Akademi AI Google, kami boleh mencapai keputusan transformatif untuk penyelesaian kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Google untuk Startups Asia Pasifik, Michael Kim menyifatkan, pihaknya teruja memulakan Akademi AI pertama Google di Asia Pasifik memandangkan AI mempunyai potensi untuk menjadi pengganda kuasa yang luar biasa dan sangat mengagumkan.

 

"Kami tidak sabar untuk melihat 23 syarikat pemula ini memanfaatkan potensi AI untuk memberi impak kepada beberapa cabaran yang sukar, bermula daripada menangani sektor yang kurang menerima perkhidmatan seperti memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan, kepada membina kerjasama AI untuk para peguam, mendemokrasikan pemasaran pempengaruh dengan avatar yang dijana AI. 

 

"Melalui program ini, kami berharap untuk memupuk gelombang inovasi yang akan memberi kesan di seluruh rantau Asia-Pasifik," ujar beliau.

 

Sesi kemuncak Akademi AI akan berlangsung pada bulan Disember 2024 dengan Hari Graduasi, di mana syarikat-syarikat pemula akan mempamerkan penyelesaian AI yang telah diperhalusi kepada para pelabur, usahawan dan pemimpin industri AI. - DagangNews.com