TA Securities semak turun unjuran pendapatan FY25 Gadang sebanyak 20.5% kesan peningkatan kos input | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pendapatan FY25 Gadang sebanyak 20.5% kesan peningkatan kos input

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan FY25 Gadang Holdings Bhd sebanyak 20.7% kesan margin projek lebih lemah daripada jangkaan serta peningkatan kos input.

 

Katanya, selepas kumpulan itu merekodkan keputusan lebih lemah daripada jangkaan pada 1QFY25, pihaknya melaraskan andaian margin untuk beberapa projek pembinaan yang sedang dilaksanakan bagi mencerminkan keuntungan yang kecil disebabkan persekitaran operasi mencabar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada akhir Ogos 2024, buku pesanan pembinaan kumpulan berjumlah RM1.1 bilion, bersamaan 4.1x hasil pembinaan FY24, manakala jualan hartanah tidak dibil berjumlah RM245.6 juta.

 

"Tunggakan yang besar ini menunjukkan prospek pendapatan yang positif dengan bahagian hartanah dijangka kekal sebagai penyumbang utama, disokong oleh insentif jualan yang menarik. 

 

"Namun begitu, kami tetap berhati-hati tentang kemajuan bahagian pembinaan, kerana kelewatan projek boleh membawa kepada kos operasi lebih tinggi yang berpotensi menghalang prestasi keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan bersih teras 1QFY25 Gadang sebanyak RM1.1 juta adalah di bawah jangkaan, hanya meliputi 7.4% daripada anggaran tahun penuh kami.

 

Kekurangan itu sebahagian besarnya disokong oleh margin projek yang lebih rendah daripada jangkaan kesan persekitaran operasi yang mencabar dan peningkatan kos input.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan Gadang bagi 1QFY25 dari tahun ke tahun meningkat sebanyak 14.7% kepada RM148.5juta disebabkan prestasi kukuh bahagian pembinaannya yang meneia manfaat daripada pengebilan kemajuan yang lebih tinggi bagi beberapa projek.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi oleh bahagian hartanah yang lebih lemah, menyaksikan penurunan berikutan kemajuan kerja yang lebih tinggi direkodkan pada 1QFY24. 

 

"Akibatnya, keuntungan bersih teras kumpulan menjunam sebanyak 82.3% kepada RM1.1 juta, terutamanya disebabkan peningkatan kos operasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 31 sen berbanding 37 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com