TikTok terserlah sebagai platform keusahawanan digital | DagangNews Skip to main content

TikTok terserlah sebagai platform keusahawanan digital

oleh ILINADIA JAMIL

SEBUT sahaja aplikasi TikTok, pasti ramai yang teruja dan memberi pelbagai reaksi dan persepsi terhadap penggunaan platform ini terutama dalam kalangan generasi muda yang terdiri daripada golongan remaja dan pelajar-pelajar universiti.

 

Pada awal kemunculan aplikasi TikTok, pengguna lebih terdedah dengan kandungan berbentuk hiburan yang kurang bermanfaat, yang membawa kepada budaya hedonisme yang akhirnya membentuk generasi yang kurang menghargai budaya ilmu.

 

Namun, selari dengan perubahan semasa, pengguna lebih bijak dan kreatif dalam menghasilkan kandungan yang lebih berilmiah dan bermanfaat.

 

TikTok merupakan aplikasi dalam kategori media sosial yang paling banyak digunakan di seluruh dunia sekarang, dengan memiliki 689 juta pengguna yang aktif setakat Januari 2022.

 

Kini, TikTok bukan sahaja dikenali sebagai satu medium hiburan, tetapi juga menjadi platform penting dalam membantu generasi muda menimba ilmu dan menjana pendapatan sambilan melalui pelbagai kaedah yang disediakan dalam aplikasi tersebut.

 

Semestinya untuk menjana pendapatan melalui TikTok memerlukan elemen kreativiti dari penggunanya.


 

parafrasa

 


Terdapat pelbagai kaedah untuk menjana pendapatan melalui platform ini. Antaranya adalah dengan menghasilkan pelbagai video pendek dan kreatif yang akan meningkatkan jumlah tontonan (view) dan secara tidak langsung boleh menambahkan jumlah pengikut (follower).

 

Dengan cara ini, ia sekaligus mampu menaikkan rating pemilik akaun TikTok tersebut. Video kreatif yang dihasilkan perlulah selari dengan kehendak dan selera pengguna yang disasarkan.

 

Kebanyakan video pendek yang dihasilkan masih berkonsepkan hiburan namun ia perlu mempunyai unsur ilmiah dan bermanfaat kepada penontonnya.

 

Bak kata pepatah, ‘sambil menyelam minum air’. Bukan sekadar berhibur, pengguna juga mendapat manfaat dan ilmu dari perkongsian yang diberikan.

 

Selain dari menghasilkan video kreatif dan unik, terdapat kaedah lain untuk meraih pendapatan di TikTok.

 

Salah satunya adalah dengan menggunakan kaedah TikTok Live sebagai salah satu cara menjana pendapatan di platform tersebut.

 

Hadiah maya (Live Gifts) yang diberikan oleh penonton sebagai tanda sokongan dalam setiap sesi Live boleh ditebus dalam bentuk wang oleh pemilik akaun TikTok.

 

Selain itu, kaedah jualan dalam talian TikTok Shop mampu membantu para pelajar secara khususnya untuk membina perniagaan dalam talian selain meningkatkan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar.


 

parafrasa

 


Oleh kerana itu, aplikasi TikTok telah menjadi satu landasan untuk menarik minat generasi muda menambah ilmu pengetahuan sekaligus menjadi pemangkin untuk mereka mula berjinak ke arah keusahawanan digital dan penjenamaan kendiri (self-branding).

 

Terdapat ramai content creator atau TikTokers dari kalangan remaja yang boleh dijadikan ikon dan sumber inspirasi. Sebagai contoh, pemilik akaun TikTok Ume Cikin atau nama sebenarnya Ume Nur Ashikien M. Azhar merupakan seorang usahawan acar ikan masin dan juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan Robotik dan Automasi, UTeM yang sangat aktif di media sosial TikTok dan Facebook nya.

 

Beliau mampu meraih populariti dengan berkongsi video masakan dan video kehidupan hariannya dengan gaya dan penceritaan yang bersahaja dan kelakar.

 

Penampilannya yang bersahaja dengan memakai kemeja kotak tanpa perlu tergedik atau membuat kandungan murahan telah menarik minat ramai penonton dari pelbagai lapisan umur.


 

Ume Cikin
                                  Ume Cikin

 


Secara tidak langsung, beliau mampu meraih pelbagai sumber pendapatan, iaitu melalui aplikasi TikTok sebagai content creator dan juga sebagai seorang usahawan acar ikan masin.

 

Selain itu, seorang lagi pemilik akaun TikTok Sir Ladang atau nama sebenarnya Ridzuan Khalid, merupakan seorang pensyarah bidang perhotelan di Kolej Komuniti Rompin yang sangat aktif dan tidak lokek berkongsi segala aktiviti hariannya terutama dalam bidang penternakan lembu.

 

Hasil perkongsian video beliau telah banyak memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan lembu sebagai salah satu cabang keusahawanan.

 

Usaha beliau ini ternyata mengubah persepsi dan membuka mata orang ramai khususnya generasi muda untuk menceburi kerjaya yang dianggap tidak glamour ini.


 

Ridzuan Khalid
Ridzuan Khalid (depan)

 


Selain itu, pemilik akaun TikTok Dr Wahida atau nama sebenarnya Dr Nurul Wahida Rosli juga boleh dijadikan sumber inspirasi dan motivasi kepada golongan pelajar.

 

Bukan sahaja bergelar Doktor Falsafah, beliau juga terkenal dengan perkongsian tips penulisan berilmiah dengan cara yang lebih ringkas dan mudah difahami.

 

Beliau aktif membuat perkongsian video yang dimuatnaik di TikTok, tetapi juga seringkali membuat sesi perkongsian ilmu di TikTok Live untuk golongan pelajar secara percuma.

 

Oleh kerana itu, perubahan medium pendidikan yang selaras dengan pembangunan teknologi semasa adalah sangat penting bagi menarik minat generasi muda untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menceburi bidang keusahawanan digital.


 

Dr Nurul Wahida Rosli

 


Menurut Dr Ismail Ab Wahab, mantan Profesor Keusahawanan UiTM, keusahawanan digital dapat membuka peluang kepada individu yang berhasrat untuk menjadi usahawan sekaligus mampu menjana peluang penting bagi pertumbuhan pesat ekonomi tempatan dan negara.

 

Kini, aplikasi TikTok telah menjadi salah satu platform yang mempunyai niche kepelbagaian kandungan yang boleh dikongsikan dengan segenap lapisan pengguna.

 

Dulu, TikTok menjadi sindiran dan digelar ‘platform hiburan yang sia-sia’, namun kini TikTok bukan lagi biasa biasa. Ia telah membuka mata orang ramai tentang manfaat yang diperoleh terutama dari aspek pendidikan dan keusahawanan. 

 

Selain itu, aplikasi TikTok juga lebih selamat digunakan dengan adanya teknologi algoritma yang mampu mengesan dan menapis segala isi kandungan video yang melanggar terma aplikasi dengan unsur exploitasi terhadap kanak-kanak, ancaman, kekejaman atau kandungan lucah melampau yang akan memberi kesan negatif terhadap pengguna media sosial ini.


 

parafrasa

 


Secara tidak langsung, kandungan sebegini akan dihalang (banned) oleh TikTok daripada dikongsi atau dimuat turun ke platform tersebut. Hal ini dapat memastikan setiap kandungan video yang dihasilkan lebih selamat, berinformasi serta memberi input berguna kepada semua lapisan masyarakat.

 

Jadi, tidak hairanlah TikTok menjadi platform yang paling disukai dan trending pada masa kini.

 

Benar bagai dikata, tak kenal maka tak cinta, belum cuba belum tahu. Aplikasi TikTok telah berjaya membentuk satu tranformasi digital bukan sahaja dari aspek pendidikan tetapi juga dari aspek keusahawanan dalam kalangan pelajar. - DagangNews.com

 

 

ILINADIA JAMIL adalah Pensyarah Kolej Pengajian Kreatif, UiTM Melaka, Kampus Alor Gajah