Untung bersih Kerjaya Prospek pada 9MFY23 terjejas akibat pembatalan kontrak RM404.4 juta – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek pada 9MFY23 terjejas akibat pembatalan kontrak RM404.4 juta – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pembatalan kontrak Kerjaya Prospek Group bernilai RM404.4 juta telah menjejas keuntungan bersih terasnya bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9MFY23).

 

Kenanga Research berkata keuntungan bersih teras kumpulan terbabit dalam tempoh berkenaan mengecewakan dengan hanya merangkumi anggaran tahun penuh firma itu dan konsensus masing-masing pada 64% dan 68%.

 

Ini adalah berikutan pembatalan kerja pembinaan RM404.4 juta yang diberikan oleh Ecofirst Consolidated Berhad, di mana kontrak itu diberikan semula pada Jun 2023 dan sepatutnya bermula pada Ogos 2023.

 

“Tiada kerja telah dilakukan setakat ini, justeru peruntukan tidak timbul. Kerjaya Prospek akan mengambil langkah diperlukan untuk menguatkuasakan haknya bagi mendapatkan semula ganti rugi yang telah dipersetujui seperti dinyatakan dalam surat anugerah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Kerjaya Prospek bagi 3QFY23 melonjak 23% kepada RM35.6 juta, isytihar dividen 2 sen

 

 

Oleh yang demikian, Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan Kerjaya Prospek bagi FY23-24 sebanyak 10% hingga 4%.

 

Firma itu juga telah menurunkan andaian kemenangan kerja sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.6 bilion untuk FY23 dan FY24 masing-masing kepada RM1.2 bilion dan RM1.5 bilion.

 

Bagaimanapun, ia menaikkan andaian dividen sesaham bersih (NDPS) kepada 8 sen dan 10 sen untuk FY23 dan FY24F, masing-masing daripada sebelumnya 6 sen untuk kedua-dua tahun.

 

Sejajar dengan itu, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.67 sesaham daripada RM1.75.

 

Menurut firma itu, pada masa ini, buku pesanan tertunggak Kerjaya Prospek berjumlah RM4.7 bilion, termasuk kontrak Ecofirst, dengan buku tender RM2 bilion.

 

Tambahnya, 43% atau RM2 bilion daripada buku pesanan itu adalah transaksi pihak berkaitan (RPT), yang dijangka membentuk 60% hingga 70% menjelang FY25.

 

Sektor pembinaan secara keseluruhannya masih berdepan peningkatan kos input tetapi kekurangan buruh telah diselesaikan apabila bekalan buruh asing kembali normal, di mana jumlah tenaga kerja Kerjaya Prospek adalah seramai 7,000, termasuk 3,000 yang dibawa oleh subkontraktornya.

 

Setakat pukul 10:23 pagi ini, saham Kerjaya Prospek susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.48 dengan pasaran modal berjumlah RM1.9 bilion.  - DagangNews.com