Untung bersih MISC susut 2.7% kepada RM627.3 juta bagi 4QFY23 akibat kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MISC susut 2.7% kepada RM627.3 juta bagi 4QFY23 akibat kos operasi tinggi

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb -  Untung bersih MISC Bhd susut 2.7% kepada RM627.3 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding RM651.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu disebabkan oleh keuntungan operasi yang lebih rendah antaranya akibat kos operasi kapal yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan berjumlah RM4.27 bilion, meningkat 2.5% daripada RM4.17 bilion pada suku berakhir 31 Disember 2022.

 

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 12 sen sesaham, atau jumlah pengagihan RM535.6 juta, untuk FY2023.

 

Hasil kumpulan bagi FY23 merekodkan jumlah RM14.27 bilion, 2.9% lebih tinggi daripada FY22 manakala untung bersih setahun penuh meningkat 16% pada RM2.12 bilion, berbanding RM1.82 bilion untuk FY2022 disebabkan kadar sewa dan pengangkutan yang lebih baik. 

 

MISC dalam satu kenyataan media berkata, dalam jangka masa terdekat, keadaan pasaran yang lebih perlahan dijangkakan namun prospek kekal positif didorong oleh permintaan gas asli cecair (LNG) di Asia dan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur LNG. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Penambahan dua kapal MISC sokong inisiatif keterjaminan, peralihan tenaga global

 

Segmen perniagaan penghantaran petroleum kekal positif didorong eksport Atlantik yang kukuh dan peningkatan import minyak mentah ke Asia di samping potensi permintaan lebih tinggi berikutan krisis Laut Merah.

 

Syarikat itu menjangkakan permintaan "menguntungkan" untuk penyimpanan pengeluaran terapung dan unit pemunggahan didorong oleh "bilangan yang sihat" projek di seluruh dunia. 

 

Bagi segmen kejuruteraan berat dan marin, MISC mengutarakan harga minyak yang tinggi untuk menyokong pemulihan selanjutnya dalam perbelanjaan modal huluan.

 

Walau bagaimanapun kata MISC, perniagaan untuk subsegmen marin boleh kekal "mencabar", apabila persaingan semakin sengit, dengan kemunculan limbungan pembaikan baharu di China dan negara jiran.- DagangNews.com