Untung bersih Padini susut 27.4% bagi 1QFY24, perniagaan runcit mencabar akibat kemerosotan kuasa beli | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Padini susut 27.4% bagi 1QFY24, perniagaan runcit mencabar akibat kemerosotan kuasa beli

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - Padini Holdings Berhad merekodkan keuntungan bersih RM53.1 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (1QFY24), menyusut 27.4% berbanding setahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan bagi suku tersebut juga menyusut 1.8% kepada RM500.1 juta daripada RM509.4 juta pada 1QFY23.

 

Katanya, penyusutan keuntungan dan pendapatan disebabkan oleh kemerosotan margin keuntungan kasar dan ditambah dengan peningkatan kos kakitangan.

 

"Perniagaan runcit secara amnya kekal mencabar berikutan kemerosotan dalam kuasa beli yang mungkin timbul daripada kenaikan kos, ketegangan perdagangan dan kenaikan inflasi dan kadar faedah.

 

"Walau bagaimanapun, isu rantaian bekalan, kos bahan dan caj pengangkutan nampaknya telah stabil walaupun mungkin masih terdapat beberapa peningkatan lagi dalam jangka pendek.

 

padij

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perbelanjaan pengguna dijangka lembap untuk produk bukan makanan akibat pengenalan pelbagai cukai oleh kerajaan pada 2024 - MIDF Research

 

"Di sebalik potensi cabaran, kami optimis untuk mencapai prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan semasa," katanya.

 

Padini berkata, pengurusan akan terus menyediakan produk yang bernilai untuk wang dan melaksanakan langkah mengawal kos, mengoptimumkan modal kerja, memelihara tunai dan menyelaraskan operasi untuk meminimumkan sebarang kesan buruk.

 

Sementara itu, kata Padini, pada suku semasa dalam tinjauan, hasil dan keuntungan sebelum cukai masing-masing meningkat kira-kira RM111.9 juta (28.8%) dan RM36.0 juta (103.1%), berbanding dengan suku sebelumnya yang berakhir 30 September 2023.

 

"Ini disebabkan terutamanya oleh jualan yang meningkat semasa perayaan seperti Krismas dan cuti sekolah akhir tahun pada suku semasa," jelasnya.- DagangNews.com