Volcano lancar prospektus untuk IPO | DagangNews Skip to main content

Volcano lancar prospektus untuk IPO

KILANG Volcano yang terletak di Pulau Pinang.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Peneraju pengeluar antarabangsa bagi papan nama dan bahan suntikan acuan plastik, Volcano Berhad telah melancarkan prospektus kumpulan syarikat untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini menyaksikan tawaran awam permulaan (IPO) Volcano membabitkan 25 juta saham terbitan awam dan tawaran untuk jualan sebanyak RM35 juta saham pada harga terbitan 35 sen sesaham disediakan bagi permohonan seperti berikut:

 

Terbitan awam:

  • 8.25 juta saham baharu tersedia untuk permohonan orang awam Malaysia

 

  • 8.25 juta saham baharu diperutukkan untuk permohonan para pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, para pekerja dan sekutu-sekutu perniagaan; dan

 

  • 8.50 juta saham baharu akan ditawarkan melalui cara tawaran persendirian kepada pelabur-pelabur yang telah dikenalpasti

 

Tawaran untuk jualan:

  • 14.375 juta saham melalui tawaran persendirian kepada pelabur-pelabur yang telah dikenalpasti; dan

 

  • 20.625 juta saham melalui tawaran persendirian kepada pelabur Bumiputera yang telah dikenalpasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

 

Volcano menjangkakan IPO tersebut mampu meraih perolehan kasar sebanyak RM8.75 juta.

 

Daripada perolehan tersebut, kumpulan syarikat berhasrat untuk menggunakan RM5.55 juta bagi membeli mesin dan peralatan, sementara sebanyak RM3.20 juta digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Volcano, Datuk Ch’ng Huat Seng berkata, pihaknya hanya selangkah lagi untuk mencatat sejarah sejak penubuhan pada tahun 1999. 

 

Datuk Ch’ng Huat Seng
Ch’ng Huat Seng

 

“Sebagai pengasas bersama, majlis ini amat bermakna di dalam kerjaya profesional kami sejauh ini dan kami melihat prospek ini disokong oleh kekuatan pelanggan jangka panjang merangkumi syarikat multinasional dari seluruh dunia. 

 

“Produk kami juga turut digunakan oleh para pengguna khususnya di dalam elektrikal dan elektronik dan juga industri automotif,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Ujar beliau, pendapatan daripada IPO itu akan digunakan untuk membeli peralatan potongan laser dan mesin pick-and-paste bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan proses pengeluaran papan nama. 

 

“Kami juga akan membeli mesin suntikan acuan plastic bagi mengembangkan perniagaan pengeluaran peralatan suntikan acuan plastik. 

 

“Di samping itu pembelian peralatan dan mesin, kami juga akan mengembangkan kilang di Rayong, Thailand sebagai mana hasrat untuk mengembangkan lagi kehadiran kami di dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) dan industri automotif di dalam negara,” katanya lanjut.

 

Volcano
KILANG Volcano yang terletak di Rayong, Thailand

 

Untuk rekod, pasaran utama Volcano ialah di Singapura dan Thailand. 

 

Secara keseluruhan, pasaran asing menyumbang 95% daripada keseluruhan perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

 

Syarikat multinasional menyumbang 90% daripada jualan termasuklah dari jenama peneraju seperti Bernina, Hewlett Packard, Fisher & Paykel Thailand, Donaldson Thailand, Sharp Indonesia dan Panasonic Thailand.

 

Dalam pada itu, TA Securities Holdings Berhad merupakan penasihat utama, ejen penempatan dan penaja jamin tunggal serta penaja yang berkaitan dengan IPO berkenaan.

 

“Di mana kami berada pada masa ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi dari pasukan Volcano. Mereka amat berpengalaman dan komited serta amat pakar dan berpengetahuan mendalam di dalam pengeluaran papan nama serta peralatan suntikan acuan plastik. 

 

“Pengharagaan ikhlas ini turut ditujukan kepada para pelanggan dan pembekal yang saban tahun berterusan menyokong pertumbuhan dan kejayaan ini. Kami turut memanjangkan penghargaan ini kepada pasukan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia di dalam membantu Volcano sepanjang proses IPO ini,” ujarnya lagi. - DagangNews.com