Maxis, MDEC pupuk inovasi, teknologi baharu syarikat pemula menerusi program IdeaKita | DagangNews Skip to main content

Maxis, MDEC pupuk inovasi, teknologi baharu syarikat pemula menerusi program IdeaKita

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Maxis dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama untuk memupuk inovasi dan penemuan teknologi dalam kalangan syarikat pemula melalui program IdeaKita MDEC. 

 

Dalam kerjasama ini juga, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong dan Ketua Pengguna Maxis, Arjun Varma telah menyediakan kepakaran mereka sebagai mentor industri untuk membimbing peserta dalam Office Hours Mentoring Sessions di Kem Inovasi IdeaKita MDEC yang berlangsung selama 10 hari dari 3 hingga 31 Oktober.

 

Program IdeaKita adalah sebuah inisiatif Malaysia Digital dan membolehkan para inovator dan usahawan untuk memulakan syarikat teknologi mereka sendiri dalam pelbagai industri, sambil menyediakan bimbingan, kesedaran harta intelek, serta pembangunan produk berdaya maju minimum (MVP). 

 

Bootcamp tersebut dibahagikan kepada dua trek, untuk mereka yang ingin membangunkan syarikat pemula tetapi belum mempunyai idea perniagaan dan untuk mereka yang sudah mempunyai idea perniagaan serta mencari pengesahan pelanggan dan pasaran, pembangunan MVP dan mempelajari cara menjual. 

 

Melalui bootcamp ini, inovator dan usahawan mendapat akses kepada mentor industri dan kursus latihan untuk mengesahkan pernyataan masalah, idea, serta model perniagaan untuk dibawa ke pasaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, IdeaKita bertujuan untuk memangkin dan mengubah keupayaan dan kapasiti ekosistem digital negara. 

 

"Selaras dengan inisiatif Malaysia Digital, matlamat kami adalah untuk mewujudkan dan memupuk 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir tahun ini. 

 

 

mdec
                                                   Mahadhir Aziz

 

 

"Bagi mencapai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, MDEC akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan usahawan muda, sektor perniagaan, dan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat pula berkata, mereka amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada program IdeaKita MDEC sebagai mentor industri untuk membimbing usahawan teknologi dalam merealisasikan idea serta mengesahkan penyelesaian teknologi yang relevan dengan permintaan pasaran masa kini dan masa depan. 

 

 

maxis
                                                Loh Keh Jiat

 

 

"Kami komited dalam pelaburan kami kepada negara melalui program-program sedemikian, dan dalam memperkasakan syarikat pemula tempatan untuk membawa inovasi teknologi yang lebih besar ke pasaran," katanya.

 

Maxis telah lama aktif dalam ruang inovasi, dengan membangunkan beberapa program dengan ekosistem syarikat pemula melalui kerjasama dengan MDEC. 

 

Ini termasuk inisiatif seperti Maxis IoT Challenge, siri SPARK dan Market Access Day. Sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi di bawah Geran Digitalisasi PKS MDEC, Maxis telah membantu lebih daripada 25,000 perusahaan kecil dan sederhana menjalani digitalisasi melalui akses kepada pelbagai penyelesaian digital. - DagangNews.com