Dutch Lady anugerahkan kontrak RM100 juta kepada SEB untuk pembinaan kilang baharu | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady anugerahkan kontrak RM100 juta kepada SEB untuk pembinaan kilang baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pengeluar tenusu terkemuka Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad menganugerahkan kontrak bernilai RM100 juta kepada Seremban Engineering Berhad (SEB) sebagai kontraktor utama untuk membina kilang pembuatan produk tenusu halal baharunya di Techpark, 
Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

Kontrak itu merangkumi kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina yang akan dikendalikan oleh SEB untuk membina hab pembuatan produk tenusu halal baharunya yang berkeluasan kira-kira 13 hektar. 

 

Kontrak ini bernilai 25% daripada jumlah RM400 juta pelaburan sebahagian daripada pelaburan Dutch Lady dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun2024.

 

Pengarah Urusan Dutch Lady, Ramjeet Kaur Virik berkata, kerja-kerja pembinaan telah bermula di hab pembuatan tenusu halal yang membolehkan proses pembuatan dilakukan secara lebih efisyen dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat.

 

"Kami mengalu-alukan kerjasama dengan SEB kerana ianya mewujudkan peluang berkolaborasi dengan rakan kongsi lain untuk membina hab pembuatan tenusu halal masa depan Malaysia.

 

“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sokongan yang diberikan dan berharap kemudahan pembuatan baharu ini akan membantu meningkatkan profil pelaburan Negeri Sembilan dan Malaysia sebagai hab berteknologi tinggi yang dapat menarik para pengilang tempatan dan asing

 

“Hab pembuatan baharu kami menepati piawaian Industri 4.0 yang menggabungkan teknologi hijau bertaraf dunia dan automasi dalam semua aspek kilang dengan kecekapan tinggi dan jejak karbon yang rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengumuman itu dibuat dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan, Zetty Hamimi Zakaria.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Wong Wai Hung berkata, pihaknya berbesar hati kerana dianugerahkan kontrak pembinaan hab tenusu halal baharu Dutch Lady.

 

"Ia adalah peluang yang cukup bermakna bagi kami untuk memperlihatkan kepakaran pembinaan kami dan menyediakan penyelesaian infrastruktur untuk kemudahan ini, yang akan membantu Dutch Lady memacu matlamatnya pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com