4 hari berturut-turut Malaysia capai lebih 500,000 pemberian dos vaksin, tertinggi 556,404 semalam | DagangNews Skip to main content

4 hari berturut-turut Malaysia capai lebih 500,000 pemberian dos vaksin, tertinggi 556,404 semalam

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malaysia terus mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian melebihi 500,000 dos  selama empat hari berturut-turut bermula 26 Julai 2021.

 

Prestasi tersebut pernah dicapai pada 22 Julai 2021 dengan jumlah pemberian dos vaksin harian sebanyak 507,050 sebelum kembali menurun pada hari seterusnya.

 

Sepanjang tempoh berkenaan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi sebanyak 556,404 dos semalam.

 

/

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah tertinggi yang dicapai itu meliputi 343,530 pemberian dos pertama dan 212,874 bagi pemberian dos kedua.

 

Dengan peningkatan tersebut, jumlah kumulatif vaksinasi COVID-19 di Malaysia terus melonjak kepada 19.5 juta setakat semalam.

 

Jumlah kumulatif itu terdiri daripada 13.18 juta penerima dos pertama dan 6.31 juta yang telah melengkapkan suntikan dos kedua.

 

Tambah JKJAV lagi, peratusan populasi yang divaksin di negara ini turut meningkat kepada 40.4% bagi dos pertama dan 19.3% bagi individu yang telah melengkapkan suntikan dos kedua.

 

Lembah Klang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak mencatatkan peratusan populasi divaksin tertinggi setakat semalam.

 

.

 

Masing-masing merekodkan kadar vaksinasi sebanyak 64.3%, 62.5% dan 60.1% bagi tempoh sama.

 

Negeri-negeri lain bagaimanapun masih di bawah kadar 60%.

 

Mengikut peratusan vaksinasi bagi golongan dewasa pula, sebanyak 56.3% golongan berkenaan telah divaksin setakat ini.

 

Sebanyak 27.0% daripadanya telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. - DagangNews.com