KUALA LUMPUR 9 Julai – Penyelidikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati sebanyak 26% daripada Pekerja Dewasa Malaysia mengalami tekanan kewangan pada pelbagai tahap, dan 65% di antara mereka mengatakan tekanan kewangan telah mempengaruhi prestasi kerja mereka.
Dapatan tersebut diperoleh hasil kaji selidik dihasilkan oleh Financial Education Well-being Research Centre (FEWRC) AKPK sendiri yang bertajuk 'From Nine to Five: Navigating Employees’ Financial Well-Being at the Workplace'
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, kaji selidik tersebut juga jelas menunjukkan kesejahteraan kewangan dan mental saling berkaitan.
Secara purata, berdasarkan laporan FEWRC, 70% Pekerja Dewasa Malaysia berada pada tahap kesejahteraan kewangan terendah adalah pekerja yang berprestasi rendah. Sementara itu, 78% daripada mereka yang mempunyai kesejahteraan kewangan tertinggi melebihi jangkaan produktiviti yang diharapkan. Angka-angka ini menyorot peranan penting pendidikan kewangan dalam meningkatkan produktiviti tempat kerja.
Tambah Azaddin lagi, apabila kesejahteraan kewangan seseorang meningkat, ia turut meningkatkan kesetiaan pekerja, mewujudkan tenaga kerja yang lebih stabil dan komited.
“Hasil kajian kami menunjukkan 91% daripada Pekerja Dewasa Malaysia yang memiliki kesejahteraan kewangan tinggi lebih setia kepada syarikat mereka, manakala 89% daripada mereka yang menghadapi kesejahteraan kewangan yang rendah sedang aktif mencari peluang pekerjaan baru.
“Wang tidak dapat membeli kesetiaan, tetapi kesejahteraan kewangan mampu melakukannya, kerana kedua-duanya saling berkait rapat. Dengan kesejahteraan kewangan, kami menggariskan kepada pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan sumber-sumber yang ada, seperti wang dan pembiayaan, untuk kebaikan diri," ujar beliau.
Walaupun perkara ini penting, namun laporan penyelidikan ini menunjukkan terdapat jurang antara penawaran dan permintaan latihan pendidikan kewangan. Meskipun 74% daripada Pekerja Dewasa Malaysia mempertimbangkan untuk menghadiri kursus kewangan, hanya 48% daripada syarikat yang disoal selidik menganjurkan program-program tersebut untuk pekerja mereka.
Oleh itu, pelancaran laporan FEWRC ini dalam persidangan tersebut dianggap tepat. Azaddin mencadangkan agar integrasi kesejahteraan kewangan pekerja menjadi agenda utama dalam rancangan organisasi untuk meningkatkan produktiviti.
Laporan penyelidikan tersebut dibentangkan pada Persidangan Kesejahteraan Kewangan pada 26 Jun 2024 bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Acara dua hari yang bertemakan "Level Up! Your Mind, Your Body, and Your Money" telah mengumpulkan beberapa pengamal industri termasuk Sumber Manusia daripada agensi dan syarikat yang menjadi rakan kerjasama AKPK, untuk mengikuti beberapa sesi pembentangan dan perbincangan mengenai topik kesihatan fizikal, mental, dan kewangan.
Acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni. Dalam ucaptamanya, beliau menekankan tentang kepentingan kesejahteraan kakitangan terhadap produktiviti di tempat kerja dan menegaskan bahawa ia melangkaui kesejahteraan fizikal. Kesejahteraan mental juga merupakan penentu utama dalam menentukan produktiviti pekerja, dan pengurusan kewangan yang baik dapat membantu memelihara kesejahteraan mental.
Datuk Wira Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp, adalah antara figura utama dan pengamal industri yang berkongsi pandangan penting mengenai kesihatan, kewangan, kerjaya, dan transformasi. Personaliti awam yang turut hadir untuk menjayakan acara termasuk Datuk Shalin Zulkifli, Kevin Zahri, dan Douglas Lim.
Persidangan tersebut berakhir dengan persembahan video istimewa yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK di bawah naungan pokok-pokok besar di dalam hutan, menceritakan perjalanan AKPK dan komitmennya yang berterusan dalam memperkukuh ketahanan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. - DagangNews.com