AmInvestment mulakan liputan ke atas Vestland dengan saranan 'beli', TP 62 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan ke atas Vestland dengan saranan 'beli', TP 62 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - AmInvestment Bank Bhd memulakan liputan ke atas Vestland Bhd dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 62 sen sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu merupakan kontraktor domestik yang memberi fokus kepada hartanah kediaman daripada kelas mampu milik hingga kelas menengah atas dengan majoriti perniagaannya adalah dalam projek reka & bina (D&B) diikuti projek bangunan konvensional.

 

"Kumpulan itu juga terlibat dengan kerja-kerja kejuruteraan awam tetapi ia hanyalah sebahagian daripada operasinya.

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan itu memberi lebih tumpuan kepada projek D&B," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tarikan utama kumpulan itu adalah ia merupakan peneraju dalam kejuruteraan nilai yang menggabungkan teknologi serta perkhidmatan termaju dalam mengoptimumkan reka bentuk projek bagi pulangan maksimum.

 

Katanya, pasukan pengurusan Vestland juga bijak dalam mengendalikan perniagaan dan memiliki rekod prestasi cemerlang selain memiliki buku pesanan sebanyak RM2 bilion pada akhir suku pertama tahun ini yang akan memberikan keterlihatan pendapatan alam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Selain itu, buku tendernya bernilai RM2.9 bilion terdiri daripada projek-projek yang memberi hasil tinggi," katanya.

 

AmInvestment berkata, kumpulan itu berkata mereka sangat selektif dalam memilih pelanggan mereka dan hanya memberi tumpuan kepada projek wajar dan berpatutan.

 

Katanya, tiga pelanggan utamanya mempunyai rekod prestasi yang kukuh, menyumbang 68% daripada hasil FY23 dan merupakan pelanggan tetap.

 

"Kami kagum dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan yang menggunakan teknologi terkini bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan kadar pelepasan. Ia juga menggunakan kaedah pembinaan yang meningkatkan keselamatan," katanya.- DagangNews.com