Apex Securities mulakan liputan ke atas Matrix Concepts dengan saranan 'beli', TP RM2.14 sesaham | DagangNews Skip to main content

Apex Securities mulakan liputan ke atas Matrix Concepts dengan saranan 'beli', TP RM2.14 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Apex Securities memulakan liputan ke atas Matrix Concepts Holdings Bhd dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kadar diskaun 20% kepada nilai aset bersih (RNAV) kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu optimis terhadap prospek pertumbuhan pendapatan Matrix Concepts kerana kumpulan itu memiliki strategi pertumbuhan yang jelas.

 

Katanya, ia terbukti dengan usaha penambahan bank tanah yang berterusan bagi memastikan pembangunan mampan dalam tempoh dua dekad akan datang.

 

"Selain itu, pengembangannya di luar negara menunjukkan keyakinan pengurusan yang kukuh serta aliran hasil yang pelbagai dan seterusnya mengukuhkan pandangan positif kami terhadap kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Apex Securities menjangkakan untung bersih teras kumpulan itu berkembang sebanyak 24.1% dari tahun ke tahun kepada RM257.1 pada tahun kewangan 2024 (FY24) dan 16.5% kepada RM299.5 juta pada FY25.

 

Katanya, keuntungan itu akan dipacu oleh pengiktirafan hasil progresif daripada pelancaraan projek baru-baru ini dan jualan yang belum dibilkan.- DagangNews.com