DKSH jalin kerjasama strategik dengan Hwa Tai kembangkan pasaran biskut di Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH jalin kerjasama strategik dengan Hwa Tai kembangkan pasaran biskut di Semenanjung Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - DKSH bekerjasama dengan Hwa Tai, pengeluar dan pengedar produk biskut dan konfeksi berkualiti tinggi di Malaysia bagi meluaskan kehadiran Hwa Tai di pasaran Semenanjung Malaysia dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran dan kepakaran tempatan DKSH. 

 

Menerusi perjanjian itu, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran yang lengkap, termasuk pemasaran dan jualan, perkhidmatan pemasaran lapangan, pengedaran dan logistik, serta kredit dan kutipan untuk rangkaian biskut Luxury dari Hwa Tai. 

 

Kata DKSH, perkembangan operasi pengeluaran tersebut akan memastikan produk Hwa Tai tersedia melalui pelbagai saluran pengedaran, seperti perdagangan moden dan tradisional, rantaian pasar mini dan kedai serbaneka.

 

Pengurus Besar Hwa Tai Industries Bhd, Telance Teo Giap Cheng, berkata kerjasama dengan DKSH memberikan peluang yang sangat baik bagi syarikat mewujudkan, mempromosikan, dan mengembangkan produk di pasaran Semenanjung Malaysia. 

 

"Dengan mengalih keperluan pengedaran kami kepada DKSH, kami dapat memanfaatkan jejak serantau luas, rangkaian pengedaran kukuh dan tenaga jualan yang berpengalaman bagi memperkukuhkan lagi kehadiran komersial jenama kami dan pertumbuhan berterusan di pasaran Semenanjung Malaysia,” ujarnya. 

 

Naib Presiden Barangan Pengguna Bergerak Pantas DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata kerjasama dengan Hwa Tai akan memperluaskan kawasan pengedaran, meningkatkan variasi produk, memperluaskan liputan pasaran, menetapkan piawaian baru dengan memastikan pengguna di Semenanjung Malaysia mempunyai akses kepada biskut berkualiti tinggi dan pilihan produk unggul yang lebih luas. 

 

"Ini menunjukkan komitmen kami melayani pelanggan dan memperkayakan pengalaman kulinari mereka dengan menggabungkan kepakaran dan sumber daya kami untuk meningkatkan produk biskut Hwa Tai dalam sektor barangan pengguna bergerak pantas di Malaysia," ulas beliau. - DagangNews.com