Dr Awang Adek Hussin dilantik pengerusi baharu BSN berkuat kuasa 1 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

Dr Awang Adek Hussin dilantik pengerusi baharu BSN berkuat kuasa 1 Julai 2024

DR AWANG ADEK HUSSIN
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Jun - Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2024.

 

Awang Adek yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan bakal mengakhiri tempoh sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 15 Jun 2024. 

 

Dalam kenyataannya, BSN berkata, Awang Adek yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor kewangan, perkhidmatan diplomatic dan pentadbiran awam.

 

"Pengetahuannya yang mendalam dan kepemimpinannya dalam sektor kewangan akan meningkatkan misi BSN untuk memenuhi mandatnya dan mengejar visi strategiknya. BSN menantikan kepimpinannya dalam mendorong bank ke arah kecemerlangan dan inovasi," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC berkuat kuasa 16 Jun 2024 - MoF

 

sc
Dr Awang Adek Hussin mengucapkan perpisahan kepada warga kerja SC pada majlis townhall bersama Pengerusi semalam. -Gambar SC

 

Tempoh penting Awang Adek adalah di Bank Negara Malaysia (BNM) di mana beliau menduduki beberapa jawatan kepemimpinan selama 17 tahun, naik ke jawatan Penolong Gabenor pada tahun 1996.

 

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Timbalan Menteri Kewangan serta dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) selama dua tahun. Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 

Awang Adek adalah pengarah urusan pertama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Pengerusi Institut Penyelidikan PNB, Pengerusi Tenaga Nasional Bhd, dan Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd.- DagangNews.com