Google.org sumbang geran baharu AS$7.5 juta, bantu redakan krisis pandemik | DagangNews Skip to main content

Google.org sumbang geran baharu AS$7.5 juta, bantu redakan krisis pandemik

Google.org

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Cabang filantropi Google, Google.org mengumumkan pemberian dana geran baharu serta sokongan lain berjumlah AS$7.5 juta kepada Malaysia dan lima negara Asia lain.

 

Pemberian dana berkenaan adalah bagi membantu meredakan krisis pandemik yang sedang berlaku di negara-negara berkenaan.

 

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, sebahagian daripada komitmen baharu itu, Google.org 
membekalkan geran berjumlah AS$1.5 juta kepada UNICEF, untuk menyokong usaha tindak balas COVID-19 di lima negara termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan.

 

Menurutnya, UNICEF juga akan meneruskan sokongan kepada kerajaan dan komuniti untuk menyekat penyebaran virus sekali gus meminimumkan tahap kesakitan dan kematian, termasuk dengan meningkatkan tahap jangkitan dan kematian untuk menghadapi kemungkinan gelombang baharu COVID-19 pada masa hadapan. 

 

"Lonjakan kes COVID-19 telah menyebabkan tekanan yang besar terhadap sistem penjagaan kesihatan kita, dan geran Google.org kepada UNICEF ini bertujuan untuk memperkukuh sokongan kami kepada Malaysia dalam masa yang penting ini.

 

"Kami juga akan terus memberi tumpuan untuk memastikan akses kepada maklumat yang tepat pada masanya sentiasa ada, serta peralatan untuk kekal termaklum, terhubung, dan selamat bagi semua warga Malaysia tersedia," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Selain memberi geran kepada UNICEF, Google.org juga akan memberi AS$1 juta tambahan kepada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) untuk memenuhi keperluan bekalan oksigen dan peralatan perubatan yang mendesak di Indonesia. 

 

Dalam pada itu, Google.org akan membekalkan Geran Pengiklanan berjumlah AS$5 juta kepada agensi-agensi kerajaan tempatan dan organisasi di serata Asia Tenggara, termasuk Malaysia untuk menjalankan kempen-kempen informasi kesihatan awam secara percuma.

 

Sejak tahun lalu, Google telah membekalkan Geran Pengiklanan berjumlah lebih daripada AS$27 juta untuk menyokong kerajaan-kerajaan tempatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia yang telah menyampaikan lebih daripada 343 juta pengumuman perkhidmatan awam (PSA) untuk menjangkau khalayak dengan mesej tentang cara untuk kekal selamat dan fakta mengenai vaksin.

 

Sementara itu, Pengarah Rantau, Asia Timur dan Pasifik UNICEF, Karin Hulshof memberitahu, pihaknya amat berterima kasih atas sumbangan Google.org sambil meneruskan tindak balas tanpa lelah terhadap pandemik dengan memberikan akses vaksin yang adil serta perkhidmatan kepada populasi yang terpilih yang bertumpu kepada golongan yang paling berisiko.

 

"Hanya sebuah tindak balas sedunia sahaja yang benar-benar dapat melindungi dan memastikan masa hadapan yang selamat bagi setiap kanak-kanak, dan komuniti yang didiami mereka.

 

"Dan kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kami dan bergantung pada kepakaran, penyelesaian inovatif dan dana yang fleksibel mereka untuk membantu mengurangkan kesan di rantau ini dan seterusnya," jelas beliau. - DagangNews.com