HappyFresh peroleh pembiayaan AS$65 juta untuk pacu pelan pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

HappyFresh peroleh pembiayaan AS$65 juta untuk pacu pelan pertumbuhan

KUALA LUMPUR 29 Julai   Platform pembelian barangan runcit dalam talian yang beribu pejabat di Indonesia, HappyFresh, telah meraih pembiayaan AS$65 juta dalam Siri D.

 

Pusingan pembiayaan ini diketuai oleh Naver Financial Corporation dan Gafina B.V., diikuti oleh STIC, LB dan Mirae Asset Indonesia serta Singapura. Pelabur sedia ada seperti Mirae Asset-Naver Asia Growth Fund dan Z Venture Capital juga turut mengambil bahagian. Pusingan tersebut melepasi sasaran awal, ekoran permintaan yang tinggi daripada pelabur baharu dan sedia ada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HappyFresh, Guillem Segarra berkata, pihaknya sedang giat berusaha meluaskan operasi meliputi pelbagai pasaran sambil mengekalkan kualiti serta standard keselamatan.

 

Menurut beliau, HappyFresh telah menambah ribuan pengangkutan beberapa bulan lepas untuk memenuhi peningkatan permintaan.

 

Beliau berkata, meneruskan fokus pada usaha menyediakan perkhidmatan yang mudah dan selamat, syarikat akan memperkukuhkan model operasi sedia ada dan juga jalinan kerjasama dengan pasar raya di seluruh negara.

 

“Langkah ini bertujuan menjadikan operasi lebih efisien, meningkatkan tahap perkhidmatan dan kawalan kualiti selain menambah baik pengalaman pelanggan.

 

“Kami mahu pelanggan mendapatkan semua barangan runcit yang diperlukan dalam keadaan barangan masih segar dan lebih pantas, untuk memastikan mereka menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Pasukan ini juga telah merancang untuk meningkatkan tawaran perkhidmatan seperti kaedah pembayaran yang lebih banyak, kepelbagaian pengalaman pengguna yang lebih baik dan membawakan perkhidmatan HappyFresh kepada lebih ramai keluarga di setiap negara meliputi seluruh wilayah.

 

Sementara itu, Pengarah Pelaburan Asia Tenggara Naver dan ahli lembaga HappyFresh, Peter Na berkata, pasukan pengurusan yang hebat dan tawaran perkhidmatan yang unik membolehkan HappyFresh serta rakan kongsi mengharungi waktu yang mencabar ini dengan jayanya di samping pengalaman pelanggan dan keselamatan yang terbaik, seterusnya membina kesetiaan dan kedudukan sebagai pelopor pasaran dalam jangka Panjang.

 

Pengarah Urusan HappyFresh Malaysia, Hu Hun Hui berkata, dalam pada syarikat terus membantu lebih ramai keluarga memenuhi keperluan runcit mereka, HappyFresh juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk melebarkan sayap ke lebih banyak kawasan merangkumi Putrajaya, Cyberjaya, Rawang, Butterworth, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan kawasan timur Malaysia. – DagangNews.com