Harga emas tinggi dorong untung 2QFY24 Tomei naik 22% kepada RM28.6 juta | DagangNews Skip to main content

Harga emas tinggi dorong untung 2QFY24 Tomei naik 22% kepada RM28.6 juta

Gambar Tomei
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Harga jualan emas yang lebih tinggi mendorong Tomei Consolidated Berhad mencatatkan peningkatan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak 22% kepada RM28.558 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), daripada RM23.466 juta pada suku tahun sama 2023.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, peruncit emas dan barang kemas itu berkata, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM266.905 juta untuk suku tahun semasa berakhir 30 Jun 2024, meningkat RM43.519 juta atau 19% berbanding pendapatan RM223.386 juta pada 2QFY23.

 

Untung bersih Tomei pada 2QFY24 pula naik kepada RM19.9 juta daripada RM17 juta setahun sebelumnya.

 

"Pendapatan segmen runcit meningkat sebanyak 14% pada suku tahun semasa kepada RM214.746 juta daripada RM188.162 juta pada suku tahun yang sama tahun lalu, disebabkan oleh harga jualan emas yang lebih tinggi. 

 

"Ini menyebabkan peningkatan PBT (segmen ini) sebanyak RM5.142 juta atau 26% kepada RM24.805 juta," katanya hari ini.

 

Sementara itu, segmen pembuatan dan borong (M&W) Tomei pada 2QFY24 berjumlah RM61.84 juta, hampir sama dengan hasil suku tahun yang sama tahun lalu. 

 

"Walau bagaimanapun, PBT segmen ini sedikit menurun sebanyak 1% kepada RM3.753 juta berbanding suku tahun yang sama tahun lalu disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Dalam ulasan mengenai prospek, Tomei berkata, konflik geopolitik, ditambah dengan program rasionalisasi subsidi kerajaan telah mempengaruhi perbelanjaan pengguna. 

 

"Kumpulan akan kekal berhati-hati dan akan terus menumpukan perhatian kepada kecekapan kos dan produktiviti untuk mengekalkan keuntungan sepanjang baki tahun kewangan ini," ujarnya. - DagangNews.com