Hibiscus Petroleum cadang ambil alih TotalEnergies Brunei pada harga RM1.22 bilion | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum cadang ambil alih TotalEnergies Brunei pada harga RM1.22 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Hibiscus Petroleum Bhd mengumumkan bahawa mereka telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan TotalEnergies Holdings International B.V. bagi mengambil alih TotalEnergies EP (Brunei) B.V pada harga RM1.22 bilion (AS$259.4 juta).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Simpor Hibiscus Sdn Bhd telah memeterai perjanjian itu dengan TotalEnergies Holdings International B.V. bagi memperoleh TotalEnergies Brunei.

 

Selepas pelaksanaan SPA, Simpor Hibiscus membayar deposit sebanyak RM229.9 juta (AS$49.0 juta) kepada TotalEnergies Holdings.

 

Hibiscus berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah selaras dengan strategi pertumbuhan syarikat memperoleh aset pengeluar di wilayah yang mantap dengan peranan kapal pengendali.

 

"Kumpulan itu bersedia untuk memperoleh pelbagai manfaat daripada cadangan pengambilalihan itu.

 

"Selain daripada memperoleh aset gas di Brunei dan mengambil alih operasinya, cadangan itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain penerokaan dan pengeluaran (E&P) bebas di rantau ini," katanya.

 

hibiscus
Dr Kenneth Pereira

 

Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr Kenneth Pereira berkata, pihaknya sudah sekian lama mencari peluang untuk memasuki industri tenaga Brunei dan ingin berterima kasih kepada TotalEnergies kerana mempercayai Hibiscus Petroleum bagi mengurus aset berkenaan pada masa hadapan.

 

Beliau berkata, jumlah tambahan daripada urus niaga itu adalah penting untuk Hibiscus Petroleum dan akan memberikan peningkatan hampir 86% kepada pengeluaran gas pihaknya sambil membawa mereka lebih dekat ke arah mencapai Misi 2026 bagi mengembangkan pengeluaran bersih kumpulan kepada 35,000 hingga 50,000 boe sehari.

 

"Kakitangan TotalEnergies Brunei yang telah mengendalikan aset ini dengan selamat dan cekap selama bertahun-tahun akan menyertai kumpulan sebagai sebahagian daripada transaksi itu.

 

"Kami teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan rakan usaha sama kami, Shell Deepwater Borneo, Penerokaan Tenaga Brunei serta kerajaan Brunei," katanya.- DagangNews.com