HLIB semak naik penarafan sektor hartanah kepada 'overweight' didorong kemas kini garis panduan MM2H | DagangNews Skip to main content

HLIB semak naik penarafan sektor hartanah kepada 'overweight' didorong kemas kini garis panduan MM2H

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik penarafan sektor hartanah kepada 'overweight' berbanding 'neutral' didorong garis panduan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dikemas kini.

 

Katanya, garis panduan terkini yang dilihat lebih santai berbanding 2021.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka juga memperkenalkan keperluan baharu untuk pembelian rumah, yang diwajibkan bagi pemegang MM2H.

 

"Program itu kini dibahagikan kepada tiga kategori yang memperincikan keperluan minimum untuk pembelian rumah iaitu perak (RM600,000), emas (RM1 juta) dan platinum (RM2 juta).

 

"Terdapat juga kategori tambahan yang dipanggil zon ekonomi khas (SEZ) dan zon kewangan khas (SFZ), di mana keperluan dilembutkan lagi (keperluan deposit tetap RM500,000 — dikurangkan daripada RM1 juta); tiada keperluan untuk pendapatan luar pesisir (berbanding RM40,000 sebulan sebelum ini)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, di Lembah Klang, kebanyakan pemaju yang mempunyai pendedahan di kawasan ini dijangka mendapat manfaat kerana banyak hartanah berharga melebihi RM600,000.

 

“Pemaju hartanah ini termasuk IOI Property Group Bhd, OSK Holdings Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Sunway Bhd.

 

“Selain Lembah Klang, di Johor, HLIB menjangkakan penurunan servis apartment tidak terjual dari Forest City akan menjadi positif keseluruhan bagi pasaran kediaman di rantau ini.

 

“Ini termasuk pembangunan di sekitar kawasan oleh Sunway dan UEM Sunrise Bhd,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemaju yang bank tanahnya berada di lokasi yang akan ditetapkan sebagai SEZ juga akan mendapat manfaat.

 

“Dari perspektif sektor hartanah, ini bermanfaat kerana keadaan yang santai akan menarik minat yang lebih luas.

 

"Walaupun keperluan pembelian rumah bertindak sebagai penapis automatik, memastikan semua pemohon MM2H membeli hartanah dan bukannya menyewa," katanya.

 

Selain itu, HLIB memberi amaran bahawa program itu boleh menghadapi persaingan daripada program serupa di Thailand dan Indonesia. - DagangNews.com