Islam menyaran umatnya untuk sentiasa menuntut ilmu dengan membaca. Kerana itu, wahyu pertama yang diterima dari Allah oleh baginda Rasullullah S.A.W adalah Iqra, atau “Bacalah…”.
Ada pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk membaca. Sama ada pembacaan melalui buku, mendengar, atau melalui pemerhatian mata kita.
Apatah lagi pada zaman serba moden ini, pelbagai kaedah dan medium yang boleh digunakan sebagai bahan bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.
Dalam konteks kandungan media, masyarakat boleh menambah pengetahuan mereka dengan menonton atau melayari program-program dan kandungan-kandungan media yang tersedia di pelbagai platform.
Menonton drama juga tidak terkecuali sebagai salah satu cara untuk mencari dan menambah ilmu pengetahuan di dalam diri.
Atas sebab itu, seorang pengkarya perlu sedar tanggungjawab mereka untuk menyampaikan ilmu kepada para penonton, bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Khunsa”, sebuah drama yang sedang ditayangkan di platform televisyen dan aplikasi berbayar menjadi perhatian ketika bulan yang mulia ini.
Mengisahkan tentang individu yang mempunyai dua jantina, drama ini berjaya menimbukan konflik bukan sahaja di dalam drama, tetapi juga kepada para penonton.
Keberanian penulis dan juga pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Ijat untuk mengetengahkan isu yang jarang diperkatakan ini merupakan tindakan yang bijak, sebagai satu usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kejadian khunsa ini.
Kekeliruan sesetengah pihak terhadap isu khunsa ini jelas membuktikan bahawa pentingnya seorang pengkarya menjadikan drama mereka sebagai salah satu platform untuk berkongsi dan menjelaskan kekeliruan-kekeliruan yang timbul, semestinya dengan bantuan dan nasihat daripada mereka yang pakar.
Atas sebab itu, selain kreativiti, kajian yang mendalam juga perlu dilakukan oleh seseorang pengkarya supaya apa yang disampaikan itu benar-benar membantu masyarakat dalam mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu.
Bukan itu sahaja, usaha-usaha setiap pihak di hadapan dan dibelakang tabir juga perlu diberikan pujian kerana mereka sangat memainkan peranan dalam menyokong idea yang ingin diketengahkan oleh penulis dan pengarah drama ini bagi memberi lebih rasa dan jiwa kepada para penonton melalui drama yang ditayangkan ini.
Membaca itu penting. Bukan sahaja buat pengkarya tetapi juga buat para penonton.
Membaca melalui visual dan lontaran dialog yang diberikan akan membantu penonton untuk menambah ilmu baharu dari sudut yang berbeza.
Malah, perbincangan-perbincangan berkisar drama ini di laman media sosial menunjukkan bahawa masyarakat kita sebenarnya memang menjadikan drama sebagai salah satu gedung ilmu mereka.
Oleh itu, besar tanggungjawab menjadi seorang pengkarya. Ini kerana melalui karya-karya yang dihasilkan, mereka juga boleh berdakwah dalam menyampaikan ilmu melalui cara mereka yang tersendiri.
Maka, bacalah. Bacalah melalui apa-apa pun, kerana membaca itu kunci kepada kataqwaan. - DagangNews.com
Dr. Siti Aishah Mohammad Razi adalah Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia